Saturday, 24 March 2012

Guru Seni Didik 2

BAB 2   Kecerdasan.
            Setiap manusia mempunyai kehebatan tersendiri yang dianugerahi Tuhan Yang Maha Berkuasa. Setiap manusia perlu mencari kehebatan diri sendiri.
            ‘Every child is born a genius.’ Richard Buckminster Fuller atau ‘Setiap anak dilahirkan bijak.’ Setiap bayi yang lahir tidak diberikan pilihan baik dari segi luaran atau dalaman dari segi penciptaannya.
                   Luaran- siapa saudara, adik beradik atau ibubapa,
-         keturunan apa,
-          tempat kelahiran,
-         mahupun bangsa dan agama.
                  Dalaman- bagaimana rupa paras,
-         warna kulit
-         jenis sifat peribadi
-         mahupun bidang kekuatan akal.
            Adakah anda diberikan ‘katalog’ untuk anda tentukan apa yang anda suka untuk diri anda sebelum anda dilahirkan? Semua orang yang berakal waras akan mengatakan tidak!
            Maka kita perlu benar-benar mengetahui bahawa kita dianugerahi keupayaan otak yang berbeza dengan orang lain. Semua manusia dianugerahi Ilahi kekuatan otak yang berbeza bidang dan aliran.
            Adakah anda kuat otak kanan atau kiri? Bidang sastera atau sains?
                        Semua pelajar perlu mengenali jenis ciptaan Tuhan digelar manusia yang diciptakan amat sempurna yang jika dikumpulkan akan membentuk satu masyarakat yang amat sempurna dan lengkap. Saling lengkap melengkapi.
            Thomas Adison mencipta elektrik.
            Keluarga Wright mencipta kapalterbang.
            Abraham Graham Bell mencipta telefon.
            Bagaimana pula ciptaan lainnya seperti handphone, television atau computer? Adakah perjalanan hidup mereka lancar? Adakah mereka dari keluarga bijak pandai? Adakah mereka dikalangan yang cemerlang didalam bidang akademik?
            Pencipta telefon tanpa wayar(walkie talkie), Malconi, gagal di dalam pengajian tentera, bidang pilihan bapanya yang merupakan seorang usahawan yang berjaya. Kerjaya pilihan tersohor buat masyarakat kala itu seperti kerjaya doktor dan peguam atau arkitek didalam masyarakat Malaysia waktu ini.
             Malconi mendapat idea untuk mencipta telefon tanpa wayar dan beliau amat yakin akan kejayaannya walaupun mendapat tentangan hebat dari bapanya. Ibu beliau menolong beliau dengan memaklumkan kepadanya  setiap kali kepulangan ayahnya ke rumah. Beliau akan bergegas sembunyikan segala peralatan beliau. Ini disebabkan ayahnya akan memusnahkan semua peralatan kajiannya sekiranya mendapati anaknya masih menumpukan minatnya pada bidang yang pelik dan asing pada waktu itu.
            Setiap pensyarah atau ahli ilmuwan yang beliau temui untuk bertanyakan tentang idea beliau, semuanya mengatakan mustahil dan tidak dapat dihasilkan. Beliau terus mengkaji dan menyelidik idea beliau dengan menelaah buku-buku yang terdapat di perpustakaan. Malah beliau terus mengkaji tanpa jemu. Beliau berdebat dan terus menyoal sesiapa yang beliau jumpa untuk mendapatkan sumber inspirasi bagi menjayakan apa yang beliau yakini.
            Akhirnya Malconi berjaya menghasilkan ciptaannya. Sehingga kini dapatlah kita berhubung menggunakan telefon bimbit, satu ciptaan yang amat canggih dan moden.
            Bagaimanakah setiap individu yang mencipta sejarah demi kebaikan sejagat dapat mencetuskan idea untuk mencipta sesuatu yang baru yang tidak wujud sebelumnya? Bagaimana idea mereka muncul dan dijadikan realiti? Keyakinan bagaimanakan yang mereka miliki? Ilham?
            Semuanya anugerah Tuhan yang menciptakan manusia, sebaik-baik ciptaanNya.
             Jika setiap pelajar mempunyai keyakinan yang teguh, maka mereka akan berusaha untuk terus menerus menuntut ilmu supaya mereka dapat mencari kekuatan diri untuk dimanfaatkan demi kebaikan bersama.
            SETIAP MANUSIA DIANUGERAHI KEKUATAN YANG BERBEZA DAN JIKA MEREKA DIKUMPULKAN MAKA TERBENTUKLAH SATU MASYARAKAT YANG HARMONI DAN MAJU.

Kejayaan.
            Beruntunglah manusia yang dibesarkan dalam suasana yang positif. Setiap kelemahan diberikan suntikan semangat. Setiap kegagalan diberikan kata-kata perangsang. Setiap detik dan ketika dirungkaikan kisah kejayaan insan terdahulu. Setiap bicara diselitkan petua kejayaan kaum-kaum sebelumnya.
            Setiap usaha yang dilakukan ahli keluarga diiringi dengan hati penuh yakin. Tidak wujud kata-kata nista atau caci mencaci yang melemahkan. Tidak terukir pada wajah menggambarkan kegagalan atau kecundang. Semuanya kejayaan dan kecemerlangan.
            Kita sebagai guru perlu melihat semua pelajar mempunyai kecerdasan otak yang diciptakan Tuhan, satu ciptaan unik dan mengkagumkan. Kita tidak perlu lagi melihat pelajar cemerlang sebagai pelajar terbaik manakala pelajar lemah sebaliknya.
            Dunia yang kita ciptakan untuk pelajar lemah amat zalim dan tidak berperikemanusiaan. Pelajar yang kita labelkan lemah telah di ‘cerca’ oleh kebanyakan ibubapa sendiri, guru dan masyarakat umum. Kita kurang pujian akan pencapaian mereka. Kita berikan senyuman hambar akan sedikit peningkatan yang mereka tonjolkan. Kita ucapkan kata-kata negatif yang dapat melukakan hati mereka. Selama beberapa tahun mereka mendengar, melihat dan merasai betapa dunia ini tidak adil untuk mereka.
            Tibalah masanya untuk kita melihat segala di sekeliling kita dengan pandangan yang berbeza. Kita didik mereka untuk berakhlak mulia, menghukum yang salah dan memberikan pujian sebaik mereka berubah kepada kebaikan walaupun kebaikan yang mereka tunjukkan tidak sebesar mana.
SETIAP KEJAYAAN AKAN DIKECAPI OLEH HATI YANG BENAR-BENAR MEYAKININYA.

Kegagalan.
            Dikalangan manusia hebat kegagalan menjadi rencah hidup. Nabi Muhammad(saw)  pernah gagal di dalam usahanya berdakwah kepada kaum Thaif. Kedatangan baginda(saw) disambut dengan kata-kata nista malah baginda(saw) dilukai sehingga kasut yang baginda(saw) pakai tercemar dengan darah dari badan baginda(saw).
            Namun baginda(saw) tidak pernah berputus asa. Keyakinan dan keteguhan hati baginda(saw) dalam mengerjakan dakwah untuk mentarbiah manusia kepada Islam memperolehi kejayaan sehingga Islam dapat menguasai dunia sehingga kini.
            Ramai orang yang  berjaya adalah dari kalangan orang yang pernah gagal sebelumnya. Kegagalan yang dihadapi menjadikan seseorang lebih matang di dalam mengambil sesuatu tindakan. Mereka dapat belajar dari kesilapan yang telah mereka lakukan.
            Kegagalan menjadikan mereka lebih berhati-hati. Mereka lebih mewaspadai untuk melakukan sesuatu perkara.
            Beruntunglah insan yang dilahirkan di kalangan kaum keluarga dan sahabat handai yang memandang kegagalan sebagai salah satu proses ke arah kejayaan.
            Setiap kegagalan akan diberikan galakan supaya lebih berusaha. Setiap kekecewaan akan digantikan dengan kata-kata hiburan yang dapat memangkinkan jiwa supaya lebih kental dan menerima kegagalan sebagai salah satu batu loncatan untuk lebih berjaya.
***
            Perkataan negatif  seperti “Dah cakap dah tetapi masih berdegil.” Digantikan dengan kata-kata
            “Tidak mengapa. Kamu sudah mencuba yang terbaik. Cadangan saya dahulu belum tentu benarnya. Kamu boleh berusaha lagi.”
***
            Perkataan negatif lain seperti “Semua orang tidak pernah lakukan apa yang kamu buat! Bagaimana kamu mendapat idea melakukan perkara seperti ini?” digantikan dengan kata-kata
            “Saya kagum dengan kamu kerana berani mencuba mengikut cara baru yang belum pernah dilakukan oleh orang lain! Walaupun gagal tidak bererti kamu seorang yang gagal. Cuba lagi.”
***
            “Kamu sememangnya degil. Saya sudah ajar berkali-kali untuk melakukan apa yang telah disarankan. Sekarang tanggung sendiri.” Boleh digantikan dengan
            “Kamu sekarang sudah pasti cara ini tidak akan berjaya. Tidak mengapa. Masa untuk kamu mengikut cara yang telah disarankan masih ada. Kamu sememangnya seorang yang berani, kreatif dan rajin. Berusahalah yang terbaik.”
***
            “Kita telah mengalami kerugian yang belum pernah dialami sebelumnya. Sekarang ramai orang akan diberhentikan kerja.” Boleh dirungkaikan dengan
            “Kamu telah melakukan yang terbaik tetapi masih gagal. Kemungkinan kita perlu mengubah dimensi dan jenis perniagaan kita.”
***
            Setiap manusia yang rajin berusaha tidak mahu gagal sepertimana keinginan anda untuk sentiasa berjaya. Kegagalan bukan  alasan untuk anda terus menerus menyalahkan orang lain melainkan anda telah pasti orang yang gagal itu sememangnya pemalas  dan bekerja dengan sikap yang acuh tidak acuh. Jika orang yang disebutkan ini mempunyai sikap sedemikian sudah pasti beliau tidak akan melakukan apa yang telah dilakukannya dari awal lagi.
            Anda akan bertemu dengan orang jenis pemalas ini tidur dan bangun dimana makanannya sentiasa disediakan oleh ibunya yang amat penyayang!
              Jangan jadikan kegagalan hari ini penyebab persahabatan anda dengan orang tersayang anda terputus yang boleh menyebabkan anda menyesal sepanjang hayat.
SENTIASA MELIHAT KEGAGALAN ORANG LAIN DENGAN UNGKAPAN  ‘APA ANDA AKAN BUAT PADA DIRI ANDA JIKA ANDA YANG MELAKUKAN TUGASAN YANG DIBERIKAN DAN ANDA YANG MENEMUI KEGAGALAN?

Katakan kepada pelajar kita;
            Semua pelajar yang gagal tidak perlu menyalahkan orang lain sekiranya mereka gagal melakukan sesuatu tindakan. Kegagalan adalah rencah hidup orang yang berjaya.
            Pertama, bidang yang mereka cuba fahami bukan bidang yang di anugerah oleh yang Maha Pencipta untuk mereka. Mereka perlu mencari kekuatan otak yang telah dianugerahkan yang Maha Pencipta. Terokai diri mereka sendiri.
            Kedua, semua pelajar perlu berusaha mencari teknik dan cara terbaik untuk memahami bidang yang mereka minati. Menjadikan pendidikan sebagai tugasan sampingan dan menjadikan hiburan di luar sebagai tugasan utama tidak akan menjadikan mereka lebih bijak. Orang yang berjaya menjadikan pembelajaran sebagai sesuatu yang menghiburkan dan membahagiakan dan tidak pada aktiviti yang lain.
            Tanya pada diri mereka persoalan “Adakah anda sentiasa leka dengan bersiar-siar di pusat membeli-belah, atau permainan komputer atau aktiviti sukan yang tidak berkesudahan pada setiap masa senggang anda?”
            Ketiga, pelajar perlu memberikan tumpuan yang tidak berbelah bagi untuk kejayaan pelajaran yang pelajar minati. Setiap manusia diberikan kekuatan akal yang terhad dan mereka tidak dapat memberikan tumpuan kepada semua perkara di dalam satu- satu masa yang singkat.
            Pelajar perlu bertanya pada diri mereka sendiri,
 “Bolehkah saya mendengar semua pengajaran di bilik darjah dan saya juga perlu memikirkan persoalan lain yang melibatkan emosi seperti masalah keluarga, percintaan, persahabatan atau persoalan lain?”
Keempat, setiap manusia terutamanya pelajar perlu membaca sebagai satu ‘alat’ untuk mencapai kejayaan. Bayangkan bahawa setiap buku yang dibaca adalah sebagai salah satu cebisan ‘puzzle’ yang akan sesuai ditempatkan di dalam ruang otak manusia. Bukan semua buku atau cebisan puzzle itu ‘fit’ atau ‘sesuai’ bentuknya. Pelajar yang banyak membaca akan dapat menyelesaikan satu gambaran  ‘puzzle’ pemikiran yang ditetapkan oleh Tuhan untuk mereka.
Maksudnya, Tuhan menetapkan setiap manusia kebijaksanaan yang amat unik yang dinamakan genius. Setiap insan mempunyai kebijaksanaan yang berbeza. Bijak seni atau bijak fakta. Apabila mereka menambah ilmu: tentunya melalui pembacaan, semua ‘persoalan’ yang ada akan terjawab samada cepat atau lambat. Bergantung kepada berapa cepat dan berapa banyak bahan bacaan yang mereka baca.
Seorang penyelidik(pelajar Phd atau pelajar Degree in philosophy) diajar untuk mencari dan mengisi ‘lompong’ persoalan yang ada melalui kajian dari penemuan orang-orang yang terdahulu. Mereka membaca thesis pelajar atau bahan penulisan orang-orang terdahulu untuk ‘menterjemahkan’ idea baru yang mereka ingin hasilkan. Maksudnya mereka mencari ‘cebisan puzzle’ yang sesuai melalui pembacaan untuk menyudahkan sesuatu ‘misteri persoalan’ atau kajian yang mereka ingin hasilkan.
            Sebagai contoh, Malconi telah menemui ramai pensyarah atau ahli ilmuwan pada zamannya untuk bertanyakan tentang idea untuk menghasilkan alat ‘walkie-talkie’. Namun semua orang yang beliau temui mengatakan mustahil dan tidak dapat dihasilkan. Akhirnya beliau terus mengkaji dan menyelidik dengan menelaah buku-buku yang terdapat di perpustakaan. Akhirnya beliau memperolehi kejayaan.
            Alangkah baiknya jika pelajar diberi ruang dan masa untuk membaca sebanyak mungkin buku sejak awal lagi. Lebih bagus jika ibubapa dapat mengamalkan membaca buku untuk anak-anak mereka seawal mereka di dalam kandungan lagi secara berterusan.
            Kelima, jika pelajar berkeupayaan, berminat, dapat memberikan sepenuh perhatian dan masih juga gagal maka mereka perlu terus menerus berusaha mencapai apa yang mereka inginkan. Mereka perlu tahu bahawa kegagalan mendidik insan menjadi manusia matang fikirannya. Anda mungkin tersalah dan kesalahan yang pertama bukan penentu masa depan anda.
Kata-kata hikmat dari orang yang telah berjaya yang beribu kali gagal sebelum mereka mengecapi kejayaan.
            Untuk berjaya, tentunya anda perlu mencuba lagi setiap kali anda gagal.
           Bukan jatuh yang perlu anda hitung, tetapi sebaik sahaja anda bangun itulah yang paling utama.
            Tuhan, masalah itu besar. Tukarkan kepada masalah, Tuhan itu Maha Besar.

            Seorang guru dapat mengajar pelajarnya untuk menulis karangan namun tidak dapat mengajar seseorang menjadi seorang penulis tersohor seperti penulis buku ‘Lord of the Ring.’
            Seorang guru dapat mengajar anda melukis tetapi tidak untuk menghasilkan lukisan bernilai ratusan juta ringgit.
            Seorang guru dapat mengajar anda menulis nota lagu tetapi tidak untuk menghasilkan lagu yang ‘evergreen’ yang sentiasa enak didengar walau abad berganti.
            Seorang guru dapat mengajar anda sains  tetapi tidak untuk mencipta berbagai ubatan yang dapat merawat banyak penyakit.
            Seorang guru dapat mengajar anda matematik  tetapi tidak untuk mencipta formula kalkulus atau computer.
            Ilham atau Idea dianugerahkan oleh Tuhan kepada manusia melalui deria ‘ghaib’ yang tercetus dari akal yang mahu berfikir.
            Berfikir sejenak lebih baik dari beribadat seribu tahun.
            Seseorang yang berfikir dengan bekalan ilmu yang mencukupi akan dapat menghasilkan sesuatu yang mengkagumkan dunia.
            Thomas Adison menghasilkan elektrik.
            Graham Bell mencipta telefon.
            Guru sebagai pembimbing dan andalah penentu masa hadapan anda sendiri.
            Guru sebagai penunjuk ajar dan andalah penentu samada anda akan berjaya atau tidak.
            Anda yang memilih untuk berjaya. Bukan guru atau ibubapa.
            Anda yang menentukan kejayaan yang akan anda kecapi. Bukan insan lain.
            Anda yang mencorakkan masa hadapan anda. Bukan orang lain.
            Maka andalah yang bertanggungjawab ke atas segala kejayaan yang akan anda perolehi. Bukan insan lain.

SETIAP MANUSIA BERTINDAK MENGIKUT KEPERCAYAAN DAN KEYAKINAN YANG TERSEMAT PADA AKALNYA SENDIRI.

Kejayaan Milik Semua.
            Kejayaan seseorang mengikut kadar kepercayaan yang mereka miliki terhadap diri mereka sendiri.
            Anda percaya anda akan berjaya, maka anda akan terus berusaha dengan apa jua cara untuk menrealisasikannya. Anda akan menggunakan semua teknik yang dipelajari untuk menjayakan cita-cita anda.  Anda akan terus bertanya dan merisik bagaimana untuk mendapatkan kejayaan yang anda idamkan dari orang yang telah berjaya atau dari buku-buku yang memaparkan kisah kejayaan seseorang serta rahsia kejayaan mereka.
            Seorang warga Amerika percaya resepi ayam goreng beliau akan disukai ramai di seluruh dunia berulangkali berusaha mencari pihak yang sanggup memasarkan resepinya. Malah dikatakan beratus kali turun naik bangunan mencari seseorang yang mempercayai apa yang diyakininya selama ini. Orang atau pihak yang akan membantunya menjadikan impiannya satu realiti.
            Kini ayam goreng Kentucky Fried Chicken atau KFC dapat menebusi pasaran hampir seluruh dunia.
            Sekiranya anda percaya anda akan gagal maka anda akan bertindak mengikut kepercayaan yang telah anda tetapkan.
            Anda akan mengiakan setiap kegagalan anda mengikut apa yang anda telah tentukan.
            Anda akan mengiakan sahaja cemuhan yang dilemparkan dan berkata-kata di dalam hati- “Ya. Saya sememangnya seorang manusia yang gagal. Apa sahaja yang akan saya lakukan akan menemui kegagalan.”
            Anda akan menyetujui kata-kata negatif yang diberikan dan anda akan mengiakan- “Ya. Saya memang bodoh, dilahirkan bodoh dan akan mati sebagai orang yang bodoh.”
            Anda akan bertindak menurut apa yang anda fikirkan. Wajah anda akan kelihatan sedih dan murung.
            Pergerakan anda akan kelihatan lemah dan tidak bertenaga.
            Pancaran mata anda akan nampak kuyu dan tidak bersemangat.
            Dan seterusnya anda akan melakukan perkara seterusnya yang akan dilakukan oleh sesiapa sahaja yang inginkan kegagalan.
            Guru anda menasihati supaya tidak berpeleseran untuk berjaya. Maka anda pilih untuk berpeleseran! Ini kerana anda telah tetapkan bahawa anda seorang yang akan gagal.
            Ibubapa anda menghalang anda untuk tidak ponteng untuk berjaya. Maka anda pilih untuk ponteng sekolah. Ini kerana anda yakin sepenuh hati bahawa anda tetap tidak akan tergolong didalam golongan orang-orang yang pandai.
            Rakan  anda berpesan supaya mengulangkaji dan tidak bergaul dengan pelajar nakal untuk berjaya. Maka anda pilih untuk membuang masa dengan pelajar bermasalah di sekolah.
            Sekiranya anda dihukum maka anda akan mengatakan “Saya patut menerima hukuman ini kerana saya dilahirkan untuk gagal.”
            Beruntunglah jika anda tergolong dari kalangan orang-orang yang mempercayai bahawa anda seorang yang berjaya.
            Berbahagialah jika anda memilih untuk berada di dalam suasana yang meyakini bahawa anda seorang yang akan mencipta sejarah!
           
TINDAKAN SESEORANG MENGIKUT APA YANG MEREKA FIKIRKAN TENTANG KEUPAYAAN MEREKA SENDIRI.
KEJAYAAN MILIK ORANG YANG PERCAYA SEPENUH HATI BAHAWA MEREKA AKAN TETAP BERJAYA WALAU APA RINTANGAN YANG MEREKA PERLU TEMPUHI.

Siapa saya sebenarnya?
Sayangilah pelajar anda sebagai anak anda sendiri. Mereka dilahirkan dengan kekuatan dan kebijaksanaan akal yang berbeza. Namun pasti semuanya akan berjaya menghasilkan sesuatu yang berguna untuk alam sejagat. Bina jati diri mereka. Katakan pada mereka:
            Setiap kejadian manusia ada pakejnya tersendiri.
            Ramai yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang di dalam semua matapelajaran dengan usaha yang sedikit. Hebat berpersatuan. Ligat dipadang. Lahirlah doktor, peguam, arkitek atau jurutera  yang mempunyai kepakaran yang tinggi.
            Dunia tidak memerlukan semua manusia berkebolehan di dalam dunia perubatan, pendakwa raya, pelukis plan atau pencipta alatan.
            Lahirlah penyanyi yang menghiburkan disamping berpesan-pesan kepada kebenaran dan mencegah kebatilan. Suara yang merdu lagi enak didengar dengan pengubah lagu yang mempunyai ilham yang melimpah ruah.
            Dunia memerlukan pelukis yang boleh menenangkan jiwa yang resah gelisah.
            Penulis yang boleh mengubah persepsi masyarakat kearah kebaikan,
            Ahli sukan yang boleh menyemarakkan suasana dan mengeratkan persahabatan,
            Pereka dalaman yang membantu usahawan menghasilkan kediaman yang nyaman,
            atau apa sahaja yang apabila disatukan akan menghasilkan satu masyarakat yang harmoni dan maju.
            Anda masih tercari-cari apakah kekuatan yang ada pada diri anda.
            Bidang apa yang anda minat.
            Di dalam pencarian, anda akan berdepan dengan tuntutan masyarakat yang menentukan bidang yang ‘panas’ masa kini.
            Pada zaman Malconi, kejayaan seseorang diukur dengan jawatan tertinggi di dalam ketenteraan.
            Di Malaysia, kejayaan anak-anak pada masa ini diukur dengan kerjaya doktor, peguam, arkitek atau jurutera.
            Setiap ibubapa mengharapkan anak-anak mereka untuk lulus periksa dengan cemerlang dan menjadi doktor pakar yang berjaya.
            Anda bertungkus lumus namun anda masih tidak upaya.
            Sekiranya Tuhan memberikan anda kejayaan mengikut apa yang ditetapkan oleh keluarga tersayang anda, maka anda akan berbahagia. Tiada masalah.
            Namun sekirannya anda gagal untuk mendapat keputusan cemerlang yang ditetapkan untuk anda oleh masyarakat, maka anda tidak perlu kecewa.
            Anda perlu yakin anda bukan dilahirkan untuk ketetapan yang telah ditetapkan untuk anda. Tuhan telah menganugerahkan anda di bidang yang lain yang satu masa nanti terdapat kekuatan yang boleh anda sumbang ke dalam organisasi atau pekerjaan yang akan anda ceburi.
            Seorang pekerja bank yakin peluang perniagaan sesuai untuk diri dan jiwanya telah memperolehi pendapatan mencecah RM$30,000.00 sebulan dengan menjual tabungan insuran.
            Seorang graduan yang sukar untuk mendapat pekerjaan sesuai dengan jiwanya kini menjadi petani moden yang berjaya memasarkan hasil tanamannya ke luar negara.
            Seorang pekerja am berjaya memperolehi pendapatan jutaan ringgit dalam masa dua tahun dengan menjalankan perniagaan multi-level menjual produk pendidikan. Perniagaan ‘matahari terbit’ seperti yang telah diramalkan pakar ekonomi dunia, Peter Drucker di dalam majalah Forbes.
            Apa sahaja yang anda akan lakukan pada satu masa nanti hanyalah untuk mendapatkan wang yang banyak secara halal.
            Apa sahaja tindakan yang perlu anda lakukan ialah untuk melakukan sesuatu yang menguntungkan disamping memberikan kebahagian buat diri anda.
           
            Anda berminat, anda berusaha pasti anda akan  mengenggam kejayaan.

SETIAP MANUSIA DILAHIRKAN DENGAN KEUPAYAAN YANG BERBEZA-BEZA DEMI MEMENUHI TUNTUTAN MASYARAKAT UNTUK MEMBENTUK NEGARA YANG MAJU DAN BERJAYA.

Guru Seni Didik

BAHAGIAN  1    GURU SEJATI, BUKU SEBENAR.
BAB 1 Guru dan pelajar. 
            Saya mempunyai 13 anak, seorang suami dan kerjaya yang berbagai.             Saya tidak mahu membuang masa anda dengan celoteh yang kita selalu baca dan dengar. Saya adalah seorang guru yang bermula dari kurang tahu kepada lebih tahu. Saya berharap pengalaman yang saya telah lalui tidak perlu anda lalui lagi. Semuanya sama. Jadikan pengalaman saya sebagai panduan untuk anda lalui 20 tahun akan datang. Anda boleh tabah baik ilmu yang saya bentangkan untuk anda. Anggaplah bahawa saya telah menebas tebang hutan dan belukar, semak dan samun untuk membina ‘highway’ bagi memudahkan perjalanan anda sebagai seorang guru supaya anda tetap bahagia dan pelajar anda riang gembira!
            Guru. Pengajar. Pembimbing. Semuanya sama. Anda secara semulajadi seperti juga saya dan kebanyakan ibubapa di luar sana mahu mengubah seseorang supaya menjadi yang terbaik. Masalahnya kita terlalu teruja dan syok sendiri sedangkan kebanyakan pelajar dan manusia secara umumnya ramai yang tidak mahu berubah. Itulah pandangan kita selama ini.
Tidak mahu berubah.
            Pelajar cemerlang sememangnya sudah sedar. Mereka berusaha tanpa ada bantuan luar. Mereka mencari jalan. Mereka bertungkus lumus inginkan yang terbaik buat diri mereka dan keluarga. Itulah juga pandangan kita selama ini.
Mereka memang mahukan yang terbaik!
            Ramai diantara kita mengatakan pelajar yang lemah itu malas! Tidak mahu berubah. Tidak pandai! Atau kita kata lembam, lembap, … dan berbagai ungkapan lain yang ada kalanya sedap didengar dan ada kalanya tidak sedap didengar. Menyakitkan telinga. Memedihkan kalbu. Melukakan hati.
Sedarkah kita bahawa Tuhan menciptakan manusia itu sebaik-baik ciptaan? Tuhan tidak menzalimi insan ciptaannya tetapi secara tidak langsung kitalah yang menzalimi sesama kita dan diri kita sendiri. Kita kurang ilmu maka kita alpa dan cuai di dalam mengambil apa-apa tindakan yang lama kelamaan memakan diri kita sendiri.
Dua perkara yang perlu kita faham tentang sifat dan sikap manusia.
 Pertama kebijaksanaan yang Tuhan ciptakan di dalam setiap diri manusia.  Jenisnya. Tahapnya. Jika kita mahir dan faham perkara pertama ini kita tidak akan ungkapkan perkataan lemah, tidak bijak atau perkataan yang seumpamanya yang kita tujukan untuk pelajar tersayang kita.
Perkara kedua ialah bagaimana manusia berinteraksi dengan diri mereka sendiri dan orang luar. Sikap manusia yang ditunjukkan. Adakah anda seorang insan yang berwatak suka bersosial atau suka mengarah atau suka merancang atau pendiam atau sukakan aktiviti lasak dan mencabar dengan menggunakan tenaga?(SARaDiT-Norlaila Yusof)
Penerimaan mereka terhadap individu lain yang diciptakan Tuhan yang bukan pilihan mereka sendiri. Kita sebagai guru hanya dapat menunjukkan dan memberi ruang kepada setiap insan untuk memahami dengan jelas perkara ini dan terpulanglah kepada mereka untuk menyesuaikan diri mereka dengan dunia luar secara bijaksana.
            Perlu diingat bahawa tidak semua manusia berupaya untuk berubah. Namun sebagai guru, kita perlu memberikan kekuatan dan keyakinan buat mereka untuk berubah dan menjadi yang terbaik. Perjalanan mereka amat jauh, namun bekalan yang kita berikan walaupun sedikit mungkin dapat dijadikan panduan sepanjang mereka menempuh ranjau hidup yang penuh duri dan racun.

TANAMKAN KEPERCAYAAN DALAM DIRI PELAJAR?
            Jika kita benar-benar memahami dua perkara teras di atas maka secara tidak langsung kita akan tanamkan kekuatan di dalam diri setiap pelajar untuk terus menerokai kelebihan diri mereka dan menghasilkan ‘sesuatu’ untuk kebaikan sesama manusia.
            Kepercayaan.
            Bagaimana negara barat dapat mengubah persepsi rakyat jajahannya untuk ‘melihat’ berpakaian cara mereka kelihatan bijak dan berwibawa. ‘Jampi’ apakah yang mereka baca sehingga kita ‘rasa’ dengan memakai tali leher dalam cuaca yang panas dan lembap, kita menjadi seorang yang berdisiplin, kemas, teratur dan bijak?
            ‘Amalan’ apakah yang mereka lakukan sehingga kita, rakyat Malaysia, dapat ‘mempercayai’ dengan berbaju kot dan kemeja semasa berada di pejabat lebih kelihatan profesional dan hebat. Baju Melayu bersampin kelihatan selekeh dan tidak ‘bijak’?
            ‘Sihir’ apakah yang mereka amalkan supaya kebanyakan para pengantin kita sanggup berhabisan beribu malah beratus ribu ringgit untuk sehelai pakaian pengantin ala-barat? Kebanyakkan kita ‘percaya’ kita kelihatan lebih cantik dan ayu sekiranya sekali seumur hidup bergaya dengan fesyen gaun pengantin ala-barat tersebut!
            Kepercayaan kita kekal ‘mengakui’ makan dengan sudu dan garfu lebih bersih dan moden. Terdapat kajian mengatakan sebaliknya- tangan
1)mengandungi sejenis antibiotik yang dapat membantu badan untuk menghapuskan banyak kuman dan menguatkan fungsi badan,
2)pengesan tahap kepanasan makanan sebelum mulut ‘menjamah’ makanan supaya bahagian mulut dan rahang tidak kepanasan(deria rasa tidak sensitif pada bahagian mulut),
3)tindakbalas sudu dan garfu secara sedikit demi sedikit yang bertindak ke atas makanan panas mengeluarkan toksik merbahaya kepada badan.
            Saya mempercayai apa yang kita yakin dan percaya itulah diri kita. Bukan sebaliknya atau yang lain.
            Ramai pelajar yakin dan percaya tingkah laku yang mereka lakukan itu lambang kegagahan, kekuatan, kepandaian, kebijaksanaan, dan kemodenan yang selari dengan kehendak zaman kini.
            Bagaimana mereka boleh mendapat keyakinan dan kepercayaan bahawa melawan guru adalah lambang kekuasaan? Menjerit dan mengguna perkataan keji itu lambang kebebasan. Bergaul tanpa kawalan lambang kemodenan? Malas itu lambang kecerdikan, kebijaksanan dan kepandaian?
            Kita sebagai guru akan terus berusaha untuk mengubah semua persepsi salah pelajar kepada yang betul lagi lurus. Kita tunjukkan jalan kepada mereka untuk mereka lalui supaya kehidupan mereka menjadi lebih mudah, tanpa kesilapan yang boleh menjurus kepada kekecewaan dan kekesalan. Tanpa kegagalan  atau kesilapan.
            Kita perlu berusaha membuka minda pelajar supaya menjadikan buku sebagai panduan untuk mereka lalui jalan kehidupan yang penuh liku ini. Tanpa buku mereka akan ‘sesat’ di dalam kehidupan yang kelihatan seolah-olah ‘gelap tidak berlampu, kelam tidak bersuluh’. Hanya buku sebagai penyuluh jalan buat mereka menempuh kehidupan yang penuh ranjau dan duri.
            Hanya dengan buku mereka dapat melihat duri, ranjau, lubang dan lurah kehidupan yang serba mencabar. Pelajar lebih matang dan berilmu untuk memandu kehidupan ke arah jalan yang benar lagi lurus.