Saturday, 24 March 2012

Guru Seni Didik

BAHAGIAN  1    GURU SEJATI, BUKU SEBENAR.
BAB 1 Guru dan pelajar. 
            Saya mempunyai 13 anak, seorang suami dan kerjaya yang berbagai.             Saya tidak mahu membuang masa anda dengan celoteh yang kita selalu baca dan dengar. Saya adalah seorang guru yang bermula dari kurang tahu kepada lebih tahu. Saya berharap pengalaman yang saya telah lalui tidak perlu anda lalui lagi. Semuanya sama. Jadikan pengalaman saya sebagai panduan untuk anda lalui 20 tahun akan datang. Anda boleh tabah baik ilmu yang saya bentangkan untuk anda. Anggaplah bahawa saya telah menebas tebang hutan dan belukar, semak dan samun untuk membina ‘highway’ bagi memudahkan perjalanan anda sebagai seorang guru supaya anda tetap bahagia dan pelajar anda riang gembira!
            Guru. Pengajar. Pembimbing. Semuanya sama. Anda secara semulajadi seperti juga saya dan kebanyakan ibubapa di luar sana mahu mengubah seseorang supaya menjadi yang terbaik. Masalahnya kita terlalu teruja dan syok sendiri sedangkan kebanyakan pelajar dan manusia secara umumnya ramai yang tidak mahu berubah. Itulah pandangan kita selama ini.
Tidak mahu berubah.
            Pelajar cemerlang sememangnya sudah sedar. Mereka berusaha tanpa ada bantuan luar. Mereka mencari jalan. Mereka bertungkus lumus inginkan yang terbaik buat diri mereka dan keluarga. Itulah juga pandangan kita selama ini.
Mereka memang mahukan yang terbaik!
            Ramai diantara kita mengatakan pelajar yang lemah itu malas! Tidak mahu berubah. Tidak pandai! Atau kita kata lembam, lembap, … dan berbagai ungkapan lain yang ada kalanya sedap didengar dan ada kalanya tidak sedap didengar. Menyakitkan telinga. Memedihkan kalbu. Melukakan hati.
Sedarkah kita bahawa Tuhan menciptakan manusia itu sebaik-baik ciptaan? Tuhan tidak menzalimi insan ciptaannya tetapi secara tidak langsung kitalah yang menzalimi sesama kita dan diri kita sendiri. Kita kurang ilmu maka kita alpa dan cuai di dalam mengambil apa-apa tindakan yang lama kelamaan memakan diri kita sendiri.
Dua perkara yang perlu kita faham tentang sifat dan sikap manusia.
 Pertama kebijaksanaan yang Tuhan ciptakan di dalam setiap diri manusia.  Jenisnya. Tahapnya. Jika kita mahir dan faham perkara pertama ini kita tidak akan ungkapkan perkataan lemah, tidak bijak atau perkataan yang seumpamanya yang kita tujukan untuk pelajar tersayang kita.
Perkara kedua ialah bagaimana manusia berinteraksi dengan diri mereka sendiri dan orang luar. Sikap manusia yang ditunjukkan. Adakah anda seorang insan yang berwatak suka bersosial atau suka mengarah atau suka merancang atau pendiam atau sukakan aktiviti lasak dan mencabar dengan menggunakan tenaga?(SARaDiT-Norlaila Yusof)
Penerimaan mereka terhadap individu lain yang diciptakan Tuhan yang bukan pilihan mereka sendiri. Kita sebagai guru hanya dapat menunjukkan dan memberi ruang kepada setiap insan untuk memahami dengan jelas perkara ini dan terpulanglah kepada mereka untuk menyesuaikan diri mereka dengan dunia luar secara bijaksana.
            Perlu diingat bahawa tidak semua manusia berupaya untuk berubah. Namun sebagai guru, kita perlu memberikan kekuatan dan keyakinan buat mereka untuk berubah dan menjadi yang terbaik. Perjalanan mereka amat jauh, namun bekalan yang kita berikan walaupun sedikit mungkin dapat dijadikan panduan sepanjang mereka menempuh ranjau hidup yang penuh duri dan racun.

TANAMKAN KEPERCAYAAN DALAM DIRI PELAJAR?
            Jika kita benar-benar memahami dua perkara teras di atas maka secara tidak langsung kita akan tanamkan kekuatan di dalam diri setiap pelajar untuk terus menerokai kelebihan diri mereka dan menghasilkan ‘sesuatu’ untuk kebaikan sesama manusia.
            Kepercayaan.
            Bagaimana negara barat dapat mengubah persepsi rakyat jajahannya untuk ‘melihat’ berpakaian cara mereka kelihatan bijak dan berwibawa. ‘Jampi’ apakah yang mereka baca sehingga kita ‘rasa’ dengan memakai tali leher dalam cuaca yang panas dan lembap, kita menjadi seorang yang berdisiplin, kemas, teratur dan bijak?
            ‘Amalan’ apakah yang mereka lakukan sehingga kita, rakyat Malaysia, dapat ‘mempercayai’ dengan berbaju kot dan kemeja semasa berada di pejabat lebih kelihatan profesional dan hebat. Baju Melayu bersampin kelihatan selekeh dan tidak ‘bijak’?
            ‘Sihir’ apakah yang mereka amalkan supaya kebanyakan para pengantin kita sanggup berhabisan beribu malah beratus ribu ringgit untuk sehelai pakaian pengantin ala-barat? Kebanyakkan kita ‘percaya’ kita kelihatan lebih cantik dan ayu sekiranya sekali seumur hidup bergaya dengan fesyen gaun pengantin ala-barat tersebut!
            Kepercayaan kita kekal ‘mengakui’ makan dengan sudu dan garfu lebih bersih dan moden. Terdapat kajian mengatakan sebaliknya- tangan
1)mengandungi sejenis antibiotik yang dapat membantu badan untuk menghapuskan banyak kuman dan menguatkan fungsi badan,
2)pengesan tahap kepanasan makanan sebelum mulut ‘menjamah’ makanan supaya bahagian mulut dan rahang tidak kepanasan(deria rasa tidak sensitif pada bahagian mulut),
3)tindakbalas sudu dan garfu secara sedikit demi sedikit yang bertindak ke atas makanan panas mengeluarkan toksik merbahaya kepada badan.
            Saya mempercayai apa yang kita yakin dan percaya itulah diri kita. Bukan sebaliknya atau yang lain.
            Ramai pelajar yakin dan percaya tingkah laku yang mereka lakukan itu lambang kegagahan, kekuatan, kepandaian, kebijaksanaan, dan kemodenan yang selari dengan kehendak zaman kini.
            Bagaimana mereka boleh mendapat keyakinan dan kepercayaan bahawa melawan guru adalah lambang kekuasaan? Menjerit dan mengguna perkataan keji itu lambang kebebasan. Bergaul tanpa kawalan lambang kemodenan? Malas itu lambang kecerdikan, kebijaksanan dan kepandaian?
            Kita sebagai guru akan terus berusaha untuk mengubah semua persepsi salah pelajar kepada yang betul lagi lurus. Kita tunjukkan jalan kepada mereka untuk mereka lalui supaya kehidupan mereka menjadi lebih mudah, tanpa kesilapan yang boleh menjurus kepada kekecewaan dan kekesalan. Tanpa kegagalan  atau kesilapan.
            Kita perlu berusaha membuka minda pelajar supaya menjadikan buku sebagai panduan untuk mereka lalui jalan kehidupan yang penuh liku ini. Tanpa buku mereka akan ‘sesat’ di dalam kehidupan yang kelihatan seolah-olah ‘gelap tidak berlampu, kelam tidak bersuluh’. Hanya buku sebagai penyuluh jalan buat mereka menempuh kehidupan yang penuh ranjau dan duri.
            Hanya dengan buku mereka dapat melihat duri, ranjau, lubang dan lurah kehidupan yang serba mencabar. Pelajar lebih matang dan berilmu untuk memandu kehidupan ke arah jalan yang benar lagi lurus.

No comments:

Post a Comment