Saturday, 23 April 2011

Berpantang- Bahagian Ketiga

BAB 3  Masalah yang dihadapi rakan. 


Rakan pertama.
“Saya mengikut nasihat doktor untuk makan makanan berkhasiat. Kaum India lain memang berpantang tetapi saya tidak. Saya makan semua jenis makanan untuk kesihatan badan saya. Saya juga tidur di dalam bilik air-cond.” Akui rakan saya yang kini menghadapi masalah badan yang tidak ‘sihat’ selepas melahirkan anak pertama.
Kini anaknya sudah berumur empat tahun dan beliau tidak bercadang untuk melahirkan anak lagi buat masa terdekat. Sebaik anak saya berumur dua bulan badan saya terasa tidak sihat.
Badan saya terasa sakit-sakit. Saya kerap demam selsema sekiranya aircond di tempat kerja menjadi sedikit sejuk.


Rakan kedua.
“Badan saya lemah. Kini saya tidak suka ‘bersama’ suami. Saya cepat letih. Umur saya sudah hampir empat puluh lima tahun. Anak sulong saya berumur lapan  belas tahun dan anak bongsu saya berumur sembilan tahun. Saya tidak pernah tahu saya perlu berpantang.” Akui rakan saya.
“Kalaulah saya tahu akibat tidak berpantang selepas melahirkan anak, saya pasti saya akan berpantang dengan baik. Kini sudah terlambat. Saya perlu hadapi semuanya.” Ceritanya lagi.
“Sendi saya terasa sakit terutamanya hari hujan dimana suhunya sejuk. Saya tidak tahan duduk di dalam bilik yang ada aircond. Saya akan kerap terkena demam selsema.
Untuk melahirkan anak lagi adalah mustahil. Saya berusaha untuk berubat namun kurang memberikan kesan yang baik.
Mungkin berurut baik untuk saya. Saya tidak tahu. Inilah luahan dari rakan saya yang sudah mengalami kesakitan seluruh anggota badannya.
Rakan saya yang tidak beranakpun mengalami masalah sakit pada sendi. Mereka mengalaminya sewaktu umur masih muda.
“Tetapi kesihatan saya amat baik semasa saya muda dahulu. Makanya saya kini menghadapi masalah kesihatan yang teruk yang sepatutnya saya boleh hindari.” katanya lagi memberikan nasihat pada dirinya.


Rakan ketiga.
“Saya mengalami keguguran sebaik kandungan saya berusia hampir empat bulan.” Cerita rakan saya panjang lebar.
“Kebetulan saya baru sahaja diarahkan bertugas di Klang sebaik sahaja saya tamat kursus keguruan.
Saya terpaksa menyewa sebuah bilik berdekatan dengan sekolah. Kebetulannya saya terpaksa mengambil air dari paip di luar rumah yang saya duduki kerana masalah air paip pada waktu itu. Saya membasuh pakaian tanpa bantuan mesen basuh. Aktiviti harian saya seperti biasa.
Saya tidak tahu langsung yang saya perlu berpantang selepas keguguran. Saya hanya tahu selepas melahirkan barulah seseorang ibu itu perlu berpantang.
Selepas hampir dua bulan gugur, pinggang saya terasa sakit. Kemudian saya dapat rasakan ‘sesuatu’ tersekat di luar kemaluan saya. Saya tidak dapat berjalan dengan baik.
Rupa-rupanya ‘sesuatu’ yang tersekat di luar rahim saya ialah rahim saya yang tidak dapat mengecut dengan baik.
Ada kalanya saya naik motosikal sewaktu akhir tempoh keguguran iaitu hari ketiga puluh.
Sebaik sahaja saya makan makanan ‘sejuk’ seperti terung, kacang panjang, tembikai dan bubur kacang, cecair jernih akan keluar dengan banyaknya dari kemaluan saya.
Pinggang saya juga terasa berdenyut. Badan saya yang dahulunya cergas dan bertenaga kini sudah menjadi amat lemah. Suara saya juga tidak dapat keluar dengan lantang. Lemah dan tidak bertenaga.
Saya terpaksa berpantang semula. Alangkan terseksanya ketika itu. Kini saya sudah mempunyai dua anak. Kejadian ini berlaku lapan tahun dahulu. Sekarang badan saya sudah sihat dan kuat.” Jelasnya secara jujur.
Rakan keempat.
         “Selepas gugur saya tidak menjaga badan saya dengan baik. Sendi saya terasa sakit terutama pada hari sejuk. Saya dinasihati ibu supaya berpantang dan saya terpaksa berpantang selama setahun.
            Saya tidak makan makanan ‘sejuk’ seperti semua jenis kekacang, air ais, segala jenis ubi dan sayuran ‘sejuk’. Dalam erti kata lain saya benar-benar berpantang selama setahun.
            Kini anak saya yang bongsu dari dua anak sudah berumur sembilan tahun.
            Sakit di bahagian sendi masih terasa terutama pada hari sejuk. Saya akan berurut sekali sebulan untuk kekal sihat.” Cerita seorang rakan.
           “Saya tidak mungkin akan melahirkan anak lagi memandangkan umur saya sudah lanjut.” Akuinya selepas saya sarankan supaya beliau melahirkan dan berpantang selama dua bulan sekali lagi untuk kembali sihat.

Rakan kelima.
              “Selepas melahirkan anak keempat dan kelima, saya dapati selepas lebih empat puluh hari melahirkan anak, rahim saya mengeluarkan cecair kuning pekat seperti nanah selama dua puluh hari seterusnya.” Cerita rakan saya semasa saya mengunjungi beliau yang berpantang tujuh tahun lepas.
              Sepatutnya darah nifas sudah kering sebaik bayi berusia lebih empat puluh hari, komen saya.
             “Sejak kebelakangan saya menghadapi masalah cecair kuning pekat yang keluar dari rahim saya. Saya tidak pasti nanah atau cecair apa. Saya memang makan semua makanan yang saya masak. Saya tidak berpantang makan. Saya tidak tahupun berpantang perlu.”
              Saya nasihatkan beliau berpantang mengikut amalan orang-orang tua dahulu untuk memastikan badan sihat seperti asal, sebelum melahirkan anak dahulu sekiranya beliau diberi peluang melahirkan anak sekali lagi. Itu sahaja penyelesaian yang dapat saya berikan memandangkan isu penjagaan selepas melahirkan anak tidak dapat dikaji dengan sistematik buat masa ini. 

Rakan ke enam.
               “Saya menghadiri kuliah seperti biasa sebaik umur anak pertama saya berumur dua minggu. Saya makan semua jenis makanan yang saya mahu.
                Ada kalanya saya terpaksa menaiki anak tangga setinggi dua tingkat untuk ke kuliah di University. Saya tidaka memakai bengkung. Saya mengambil jurusan kedoktoran. Saya mengetahui bahawa seseorang ibu tidak perlu berpantang. Itu pendapat saya dan hampir semua doktor di seluruh dunia.
               Selepas umur anak pertama saya dua bulan, mulut rahim saya terkeluar. Saya tidak dapat berjalan tanpa rasa kesakitan.
            Kini setiap kali saya makan terung atau kacang panjang atau semua jenis kekacang, cecair jernih akan keluar dengan banyaknya sehingga basah seluar dalam saya.
                Kadang-kadang cecair akan keluar juga sekiranya saya melakukan aktiviti berat.
                Saya dapati rahim saya yang terkeluar menyusahkan saya. Saya kerap sakit pinggang. Saya terpaksa baring untuk beberapa waktu untuk menghilangkan sakit pinggang yang saya alami.
               Kini setiap kali saya makan makanan ‘sejuk’, masalah di atas saya alami. Saya tidak tahu saya perlu berpantang.


Rakan ketujuh.
                 “Salah seorang ahli keluarga saya meninggal semasa berpantang.  Makanan terakhirnya ialah ikan cencaru.”
                  Ramai ibu-ibu akan mengalami masalah ‘turun darah’ dimana darah keluar tanpa henti yang boleh membawa maut.
             Diantara makanan yang boleh mengakibatkan masalah ‘turun darah’ atau ‘tumpah darah’ ialah kekacang.


 Rakan kelapan,
                  Jiran saya yang berumur tujuh puluh tahun di England menceritakan kisah orang Britain sebaik melahirkan anak.
                 “Hampir satu abad dahulu orang Britain akan berbaring sepanjang dua bulan selepas melahirkan anak. Namun ramai yang meninggal kerana darah beku tersumbat di jantung pesakit.
                 Kini doktor menasihatkan ibu-ibu berjalan-jalan sebaik melahirkan anak.
                 Perlu diketahui bahawa negara England mengalami musim salji dimana suhunya dibawah kosong darjah selama lebih tiga bulan mengikut kawasan tertentu.” Ceritanya apabila saya bertanyakan bagaimana beliau berpantang.
                 Mereka akan diberikan pil tahan sakit sekirannya pinggang mereka sakit semasa saya melahirkan anak yang keenam di Manchester, England.
            “Perut kamu kempis selepas sehari melahirkan. Bagaimana kamu buat untuk kempiskan perut kamu?” tanya seorang ibu berbangsa England yang berada diwad bersalin semasa saya melahirkan anak saya di dalam bahasa Inggeris.
                “Mungkin saya tidak minum minuman berais.” Kata saya memandangkan saya amat menjaga pemakanan saya.
                Saya hanya minum air suam sepanjang masa.


Rakan kesembilan.
                “Saya cepat marah pada anak-anak kerana badan saya terasa sakit. Saya sakit sepanjang masa. Kepala saya berdenyut, pinggang saya sakit, sendi saya sakit dan saya lemah dan tidak berdaya.
                Saya cuba menahan kesakitan dengan pelbagai kaedah namun kurang berhasil. Saya kini berpantang semula dan tidak mengambil makanan ‘sejuk’. Saya minum jus pegaga diselang selikan dengan jus mengkudu.
                Kesakitan yang saya rasa semakin berkurang. Saya akan pergi berurut dan bertungku setiap bulan.” Cerita rakan saya.

Berpantang- Bahagian Kedua

BAB 2 Kelahiran seterusnya.



           




            Anak kedua saya di lahirkan di Missoula Montana pada tahun 1997. Saya mandi berendam air panas sebagai ganti bertungku. Saya mengasuh dua kanak-kanak dipenghujung berpantang untuk membantu keluarga yang menghadapi masalah kewangan.
            Badan masih muda. Saya tidak menghadapi apa-apa masalah.
            Mungkin badan saya kuat dan sudah biasa bekerja kuat. Otot saya kuat.
Saya mengangkat sesuatu barang tanpa menekan otot rahim.
“Angkat bantal pun tak boleh. Jangan menyapu sampah. Jangan basuh tangan dengan air sejuk. Jangan duduk mencangkung.” Kata-kata nasihat saya patuhi.
Namun ada kalanya saya ingin ‘cuba’ melanggar pantang.
Anak ketiga dilahirkan di kampung halaman dan ibu menjaga saya dengan baik sekali walaupun badan beliau tidak sekuat dahulu. Kepakaran mengurut yang beliau pelajari hanya digunakan untuk anak-anaknya sahaja. Saya di’tungku’.  
Tungku atau ber’tungku’ ialah batu atau besi bulat yang dipanaskan di atas api kemudian dibalut dengan kain bersama daun-daun. Daun yang panas yang terkena batu atau besi panas akan mengeluarkan bau yang menyenangkan. ‘Aroma terapi’ kata orang barat. Daun pandan, daun lamuni, daun kaduk atau daun mengkudu dijadikan alas tungku.
Batu atau besi panas dialas daun-daun dan kemudiannya dibalut pula dengan lapisan kain yang tebal. Semasa bertungku, lapisan kain dibuka satu persatu sebaik suhu tungku semakin sejuk.
Badan diurut dahulu untuk memastikan aliran darah mengalir ke seluruh badan dengan sempurna selama sejam diawal pagi sekitar pukul lapan pagi. Kemudian sesi bertungku pula untuk memastikan badan tidak bengkak akibat urutan. Langkah ini diajar oleh ibu saya.
Urutan yang dilakukan dengan menggunakan minyak gamat atau minyak akar kayu adalah secara urutan lembut diseluruh badan.
Saya teringat bagaimana ibu saya ‘menjaga’ kakak saya sepanjang tempoh berpantangnya. Kakak saya mengalami masalah sakit badan akibat dari penyertaannya di dalam bidang bola tampar semasa di alam persekolahan. Bahunya sering terasa lenguh.
Sebaik habis berpantang anak kedua dengan urutan dan bertungku setiap hari selama lebih sepuluh hari seawal waktu berpantang, sakit dibahunya hilang.
Kelahiran anak keempat tidak memungkinkan saya berpantang dengan sempurna kerana saya terpaksa menghadiri praktikal keguruan selepas seminggu sebaik sahaja melahirkan anak. Saya hanya dapat menjaga pemakanan dengan sempurna. Nasi panas, serbuk lada hitam dan ikan kering bakar dengan ulam pegaga, pucuk kaduk atau daun lamuni. Itu sahaja makanan setiap hari dengan air suam. Air manis hanya kopi kampung(kopi yang digoreng dan dikisar buatan orang-orang kampung di Malaysia) sahaja. Makanan pagi atau petang ialah roti atau biskut kering(crackers).
Anak kelima dan keenam saya dilahirkan di England. Saya pastikan badan sentiasa suam, walaupun tiada bertungku. Saya berendam air panas semasa mandi selama setengah jam setiap pagi. Ini petua mengikut logik akal saya, tidak dari ibu saya.
Semasa melahirkan anak kelima saya menyapu sampah semasa dalam tempoh berpantang. Selepas menyapu, keesokkan harinya tangan saya menjadi ‘tidak kuat’ atau ‘lemah’ untuk membuat sebarang kerja.
Pada waktu anak  keenam saya dapati badan saya terasa sakit apabila di’kasari’ suami semasa kami ‘bersama’. Saya merasakan mungkin badan telah tua dan anak juga telah ramai. Ada kalanya saya memarahi suami apabila digigit yang selama ini adalah satu keseronokan bagi saya.
“Jangan nanti jadi tunggul kayu. Digolek ke kiri, ke kirilah baringnya. Digolek ke kanan, ke kananlah baringnya.” Nasihat ibu terus menerjah ke telinga.
Kelahiran anak ketujuh di Malaysia telah meng’ubat’ masalah di atas. Selepas dua hari melahirkan, sebaik saya pulang dari hospital suami terus mencari daun untuk ‘rebusan mandian’ yang terdiri dari daun pandan, daun serai wangi, daun lamuni dan daun kaduk. Saya mandi selama lebih sepuluh hari.
            Daun di atas direbus di dalam periuk. Lima liter dengan lima hingga sepuluh helai daun mengikut saiz direbus selama sejam. Kemudian dicampur dengan air paip sehingga suam dan dijirus ke badan sebagai bilasan akhir apabila saya mandi. Saya sabun badan, bersihkan sabun dan jirus dengan ‘rebusan mandian’ tadi sebagai bilasan terakhir sebelum badan dikeringkan dengan tuala. Mungkin tuala bertukar warna sedikit namun anda boleh membasuhnya segera untuk mengurangkan warna yang ter’lekat’. 
            Selepas berpantang saya terasa amat segar dan bertenaga semasa melakukan hubungan intim bersama suami. Saya bayangkan seperti semasa hari pertama perkahwinan saya.
            Entah bila keseronokan begini saya tidak merasainya kerana sebaik selepas melahirkan anak keenam, badan saya sudah menjadi amat teruk. Perubahan yang berlaku terlalu perlahan dan saya tidak menyedarinya sehinggalah badan saya sudah menjadi amat lemah dan tidak bertenaga. Ianya mengambil masa hampir sepuluh tahun selepas kelahiran anak keenam.
            “Jika sakit berterusan, maka lama kelamaan kita sudah tidak terasa sakitnya kerana sudah ter’biasa’ sakit.’ Kita akan sedar kita sakit sebaik sakit tersebut hilang.” Saya teringat kata-kata nasihat ibu saya. ‘Imune’ kata bahasa Inggeris.
            Semasa berpantang anak ketujuh, pernah sekali saya menghirup setengah mangkuk kecil sup ayam yang mengandungi sebiji cili merah besar yang tidak dipotong. Empat liter air bersama setengah ekor potongan ayam beserta perencah sup bunjut.
            Pada hari tersebut, hari ke dua puluh saya berpantang suami meletakkan sebiji cili merah besar beserta tangkai tanpa dipotong. Selepas setengah jam saya menghirup setengah mangkuk sup ayam tersebut saya dapat rasakan saya terkencing dalam jumlah yang sedikit. Saya periksa dan mendapati cecair jernih keluar dari rahim saya yang sudah agak kering. Kebiasaannya selepas tiga minggu melahirkan, darah sudah berkurang. ‘Pad’ akan dicemari darah selepas tiga jam saya membersihkan rahim saya.
            Saya ingatkan saya terkencing kerana saya dapat rasakan terkeluarnya cecair jernih tersebut. Selepas kejadian ini saya tidak berani lagi mengambil sebarang cili dalam masa berpantang.
            Pada hari kedua puluh lima saya berpantang, saya duduk di atas tikar yang dibentangkan di atas simen. Selepas lebih kurang dua puluh minit, saya dapati saya tidak dapat ‘mengarahkan’ kaki saya untuk bangun. Terasa seolah-olah otak dan saraf di kaki dan paha saya sudah tidak dapat ‘berhubung’. Saya terpaksa menggunakan tangan saya untuk menggerakkan kaki dan paha saya untuk bangun.
            “Sejuk’ simen amat berbisa. Badan yang sihat akan jadi rosak jika sering tidur di atas simen inikan pula semasa berpantang. Jangan sesekali duduk di atas simen walaupun beralaskan tikar. Lapikkan dengan papan jika tidak ada katil atau jika terpaksa tidur di simen.’ Pesan ibu lagi.
Semua pesanannya kembali jelas diingatan sebaik setiap masalah timbul pada diri saya semasa berpantang. Takut kembali menyelubungi fikiran saya kerana saya terasa seperti sudah ‘lumpuh’. Maklumlah saya tidak dapat berdiri langsung pada waktu itu.
Saya mengurut kaki dan seluruh anggota kaki dan paha saya perlahan-lahan sebaik daya dapat duduk di atas katil. Selepas beberapa ketika kaki saya kembali seperti asal.
Pernah sekali saya bangun pagi dan mendapati mata saya seperti sudah lumpuh. Kelopak mata saya tidak dapat dibuka secepat yang sepatutnya. Sebaik saya pejamkan mata dan membuka mata saya, kelopak atas mata saya akan terbuka secara perlahan. Rahang pipi saya juga terasa seolah-olah saya menghidapi ‘strok’ kecil kerana saya mendapati amat sukar untuk saya bertutur dengan baik.
Saya sebenarnya tidur berkipas pada malam yang sejuk. Kebetulan dua tiga malam sebelum ini hujan turun. Sebelum ini saya tidak menghadapi sebarang masalah kerana udara panas di luar dan dalam rumah tidak memberikan kesan pada badan saya walaupun saya berkipas.
Memandangkan hujan di luar rumah, badan saya menjadi sejuk sepanjang dua malam saya tidur di dalam bilik.
Selepas apa yang saya alami, saya amat berhati-hati memastikan saya mematuhi pantang larang sepanjang tempoh berpantang selepas melahirkan anak.
 Anak saya yang ke lapan hingga ke tiga belas tidak memberikan apa-apa masalah kepada saya melainkan saya sudah tidak ada ‘masa’ untuk membengkung perut saya sebaik sebelum makan.
Makanya kini saya menghadapi masalah perut buncit kerana ‘otot’ pada perut seolah-olah tidak mahu mengecut kepada saiz asal. Kini saya berusaha namun tidak mendatangkan hasil walaupun anak ketiga belas saya sudah berusia dua tahun.

Berpantang- Bahagian Pertama

Bab 1        Kelahiran anak pertama. 

            Kelahiran anak pertama pada tahun 1985 sewaktu berumur 20 tahun berlaku di Amerika sewaktu saya menjadi seorang pelajar Tahun pertama. Sebelum itu saya mengalami keguguran.
           Tarikh lahir saya 6 Julai 1964.
        Tarikh perkahwinan pada 21 Oktober 1983.
        Tarikh kelahiran anak pertama 1 Februari 1985.
            Saya mengetahui kepentingan berpantang semenjak belasan tahun lagi namun tidak secara terperinci melalui ibu saya(secara tidak langsung) semasa beliau menerangkan kelebihannya kepada kakak saya yang melahirkan anak pertamanya pada waktu itu.
            Selepas mengalami keguguran anak pertama yang berusia tiga bulan kandungan, saya terus makan dan melakukan aktiviti seperti biasa sebaik kering darah nifas. Darah keguguran hanya mengambil masa tiga minggu sahaja. Perhubungan suami isteri juga seperti biasa.
            Selepas beberapa waktu vagina saya sering mengeluarkan cecair jernih dan akan menjadi bertambah banyak apabila hubungan intim suami isteri berlaku.
            Perasaan malu bercampur takut menyelubungi jiwa. Teringat kata-kata ibu sewaktu saya membantu menjaga kakak yang melahirkan anak sulungnya.
            “Kita perempuan sebaik beranak mesti jaga makan minum dan kesihatan. Kalau dah berair bila bersama suami, tentu suami cari lain.” Kata-kata ibu bermain di dalam fikiran.
            “Alaaaah. Kalau dah takdir apa boleh buat. Jodoh di tangan Tuhan.” Sampukku. Aku sering menyanggah setiap butir nasihat yang ibu beri.
            “Ya lah! Kalau badan tu elok, dibuang tentu ada orang yang sambut. Tapi kalau badan tak elok orang nak sambut tetapi kita sendiri yang terpaksa tolak. Dah malu pada diri sendiri. Tahu sendiri badan kita elok atau tak elok.”
            Ibu terus menceritakan bagaimana rakan karibnya yang menolak setiap ajakan lelaki yang ingin mengahwininya selepas diceraikan. Rakan
ibu menceritakan betapa malunya beliau untuk berkahwin lain kerana rahimnya sentiasa basah sepanjang masa. Malah beliau terpaksa memakai ‘pad’ sepanjang masa.
            Takut, malu, risau dan bimbang menyelubungi jiwa.
            Apabila ber’satu’, kemaluan saya akan mengeluarkan angin. Kalau angin pada dubur tentulah kentut tetapi kalau angin pada kemaluan nak dipanggil apa?
            Ibu tidak menceritakan pula masalah ‘kentut’ pada kemaluan atau saya tidak terdengar perbualannya dengan kakak. Agaknya akan di panggil ‘bedilan meriam buloh’.
            Satu lagi, sebaik suami rancak melakukan ‘aktiviti’nya, terdengar pula bunyi seperti kita berjalan di dalam lumpur. Bayangkan kaki kita di letakkan di dalam lumpur kemudian diangkat dan diletakkan semula berkali-kali.
            “Nanti bila bersama suami, yang bawah tu pula ‘speaking’.” Terngiang-ngiang kata-kata ibu sewaktu bercerita tentang akibat tidak berpantang dengan betul.
            Selang lebih kurang tiga bulan kemudian saya mengandung lagi. Kandungan anak pertama. Masalah di atas semakin berkurangan sebaik  umur kandungan meningkat. Hati terasa sedikit lega.
            “Jika hendak ke kelas, bengkong perut kemas-kemas dan berjalan dengan penuh hati-hati supaya rahim tidak goyah.” Nasihat ibu sebaik sahaja mengetahui saya mengandung.
            Selepas melahirkan anak pertama saya benar-benar berpantang tetapi tidak sebaik yang sepatutnya kerana saya terpaksa ke kuliah selepas dua minggu melahirkan anak.
Cuaca di Pueblo Colorado pada waktu itu pula kebetulannya musim sejuk atau musim salji. Salji turun dan saya terpaksa ke kuliah meredah salji setiap masa. Saya memakai ‘winter coat’ namun sejuknya tetap terasa.
Lada hitam yang saya makan bersama nasi panas mungkin membantu badan saya kekal baik.
            Saya menjaga makan, membengkong perut dan memastikan saya berjalan dengan penuh hati-hati.
            “Jika dalam pantang, suamipun tak boleh melintas.” Ibu memberi nasihat lagi.
            Maksudnya saya tidak boleh pandang suami dengan perasaan bernafsu kerana kata ibu “sekiranya kita bernafsu, rahim akan mengembang.”
Sepatutnya rahim terus menerus mengecut semasa dalam tempoh 40 hari sebaik selepas melahirkan anak.
Wah. Ini dah jadi bahan jenaka.
Bau tak boleh. Nanti ter’on’.
Lihat pun tak boleh.
Kami suami isteri bergurau semasa saya dalam tempoh berpantang.

Berpantang- Pengenalan


Pengalaman melahirkan 13 anak mematangkan diri ini untuk berkongsi ilmu dengan ibu-ibu atau bakal-bakal ibu yang akan melahirkan anak.
            Sudah 26 tahun saya mencari kebenaran di dalam bidang penjagaan badan selepas bersalin. Saya sudah mengalami kerosakan organ badan yang berkaitan dengan kelahiran anak dan bagaimana saya dapat memulihkan kembali badan ini kepada tahap kesihatan yang baik.
            Syukur kepada Tuhan yang Maha Pencipta yang telah memberikan saya peluang dan minat untuk mencari kebenaran amalan berpantang selepas bersalin. 
            Saya sudah menemui ramai kaum ibu baik di Malaysia mahupun luar negara dan berkongsi pengalaman dengan kaum ibu tentang amalan selepas melahirkan anak(termasuk England semasa menetap selama empat tahun di sana).  
            Saya benar-benar berharap semuga buku ini dapat membantu semua kaum ibu di seluruh dunia agar dapat mengamalkan amalan penjagaan selepas bersalin atau berpantang demi kesejahteraan diri, keluarga dan negara.
            Rungutan dari rakan-rakan tentang masalah badan yang tidak dijaga dengan sempurna selepas bersalin.
            Badan terasa sakit-sakit terutama pada bahagian sendi lebih-lebih lagi diwaktu pagi.
            Sejuk aircond atau penghawa dingin membuatkan badan sering diserang selsema.
            Badan cepat letih dan tidak bermaya.
            Sering menolak ajakan suami untuk bermesra kerana badan sakit ketika diperlakukan dengan kasar.
            Menjadi cepat marah(disebabkan kesakitan yang hadapi) terhadap anak kecil yang mempunyai ragam.
            Kemaluan mengeluarkan banyak cecair jernih terutama sebaik ‘bermesra’ bersama suami.
            Kencing tidak puas.
            Pinggang sentiasa terasa sakit seperti datang haid(sengugut) sepanjang masa.
            Tidak ber’nafsu’ untuk bersama suami.
            Kadang-kadang timbul rasa benci pada suami dan merasa ‘jijik’ untuk ‘bersama’nya.
           
  
Bahagian 1
            Saya akan ceritakan secara terperinci pengalaman yang saya dan rakan-rakan lalui untuk dikongsi bersama supaya bakal-bakal ibu lebih berjaga-jaga di dalam penjagaan badan selepas bersalin.
            Kaum ibu yang sudah melahirkan anak dan mendapati badan tidak sihat perlu melahirkan anak sekali lagi dan berpantang semula untuk memulihkan badan yang tidak sihat. Ini saya petik petua dari orang-orang tua. Kebenarannya sudah saya alami sendiri. Ada kalanya melahirkan dan berpantang sekali lagi tidak memberikan pemulihan sempurna kerana badan anda mungkin sudah mengalami banyak kerosakan. Namun pemulihan yang akan dialami akan menjadi lebih baik walaupun tidak sebaik semasa anak dara dulu.
            Jika tidak mahu melahirkan anak lagi, anda digalakkan berpantang selama setahun dengan meminum atau makan ulaman yang disarankan semasa bersalin.
            Ambil jumlah atau sukatan yang betul kerana walau baikpun sesuatu makanan, ia akan menjadi racun sekiranya diambil berlebihan.
            Setiap manusia mempunyai tahap ketahanan badan yang berbeza. Ikan cencaru boleh membawa maut pada seorang ibu namun tidak memberikan kesan pada ibu yang lain. Untuk lebih selamat makan makanan yang disarankan menurut pengalaman orang-orang tua. Jangan jadikan nyawa sebagai taruhan.


Bahagian 2
            Perubahan pada badan sebelum dan selepas melahirkan anak dan bagaimana rahim mengecut kepada saiz asal dengan amalan penjagaan yang betul.


Bahagian 3
             Jenis-jenis makanan yang disarankan selepas melahirkan. Pastikan anda tidak mengambil sayuran atau makanan yang berupaya mencairkan darah sehari sebelum tarikh melahirkan untuk mengelakkan tumpah darah(darah keluar tanpa henti) sebaik selepas melahirkan anak.

Bahagian 4
        Senaman yang membawa padah mengikut pendapat orang-orang tua dan bidan-bidan yang berpengalaman.
Bahagian 5
            Keguguran lebih menakutkan dari melahirkan. Badan belum matang untuk menghadapi keguguran maka ibu-ibu perlu memberi penjagaan yang lebih selepas mengalami keguguran.

Bahagian 6
           Mendapat anak yang comel dan sihat. Penjagaan diet, senaman, rehat, perasaan gembira dan riang, didikan dan doa perlu untuk perkembangan bayi yang sihat namun Tuhan yang menentukan segalanya.



Kejadian manusia.

           Semua kejadian berlaku mengikut tiga hukum iaitu tanpa sebab, bersebab dan berlawanan dengan sebab.
            Nabi Adam dan Hawa dijadikan tanpa sebab, tiada ibu dan tiada bapa.
            Kita dilahirkan dengan sebab, mempunyai ibu dan juga bapa.
            Api yang panas menjadi sejuk kepada nabi Ibrahim. Ada ibu dan bapa tetapi tiada anak.
            Berdoalah setiap masa dan Tuhan suka mendengar kita berdoa.

            Ramai yang meminta doa mereka tidak dimakbulkan kerana mereka mahukan permintaan mereka diperolehi diakhirat, tempat yang kekal abadi.