BAB 2 Kelahiran seterusnya.
Anak kedua saya di lahirkan di Missoula Montana pada tahun 1997. Saya mandi berendam air panas sebagai ganti bertungku. Saya mengasuh dua kanak-kanak dipenghujung berpantang untuk membantu keluarga yang menghadapi masalah kewangan.
Badan masih muda. Saya tidak menghadapi apa-apa masalah.
Mungkin badan saya kuat dan sudah biasa bekerja kuat. Otot saya kuat.
Saya mengangkat sesuatu barang tanpa menekan otot rahim.
“Angkat bantal pun tak boleh. Jangan menyapu sampah. Jangan basuh tangan dengan air sejuk. Jangan duduk mencangkung.” Kata-kata nasihat saya patuhi.
Namun ada kalanya saya ingin ‘cuba’ melanggar pantang.
Anak ketiga dilahirkan di kampung halaman dan ibu menjaga saya dengan baik sekali walaupun badan beliau tidak sekuat dahulu. Kepakaran mengurut yang beliau pelajari hanya digunakan untuk anak-anaknya sahaja. Saya di’tungku’.
Tungku atau ber’tungku’ ialah batu atau besi bulat yang dipanaskan di atas api kemudian dibalut dengan kain bersama daun-daun. Daun yang panas yang terkena batu atau besi panas akan mengeluarkan bau yang menyenangkan. ‘Aroma terapi’ kata orang barat. Daun pandan, daun lamuni, daun kaduk atau daun mengkudu dijadikan alas tungku.
Batu atau besi panas dialas daun-daun dan kemudiannya dibalut pula dengan lapisan kain yang tebal. Semasa bertungku, lapisan kain dibuka satu persatu sebaik suhu tungku semakin sejuk.
Badan diurut dahulu untuk memastikan aliran darah mengalir ke seluruh badan dengan sempurna selama sejam diawal pagi sekitar pukul lapan pagi. Kemudian sesi bertungku pula untuk memastikan badan tidak bengkak akibat urutan. Langkah ini diajar oleh ibu saya.
Urutan yang dilakukan dengan menggunakan minyak gamat atau minyak akar kayu adalah secara urutan lembut diseluruh badan.
Saya teringat bagaimana ibu saya ‘menjaga’ kakak saya sepanjang tempoh berpantangnya. Kakak saya mengalami masalah sakit badan akibat dari penyertaannya di dalam bidang bola tampar semasa di alam persekolahan. Bahunya sering terasa lenguh.
Sebaik habis berpantang anak kedua dengan urutan dan bertungku setiap hari selama lebih sepuluh hari seawal waktu berpantang, sakit dibahunya hilang.
Kelahiran anak keempat tidak memungkinkan saya berpantang dengan sempurna kerana saya terpaksa menghadiri praktikal keguruan selepas seminggu sebaik sahaja melahirkan anak. Saya hanya dapat menjaga pemakanan dengan sempurna. Nasi panas, serbuk lada hitam dan ikan kering bakar dengan ulam pegaga, pucuk kaduk atau daun lamuni. Itu sahaja makanan setiap hari dengan air suam. Air manis hanya kopi kampung(kopi yang digoreng dan dikisar buatan orang-orang kampung di Malaysia) sahaja. Makanan pagi atau petang ialah roti atau biskut kering(crackers).
Anak kelima dan keenam saya dilahirkan di England. Saya pastikan badan sentiasa suam, walaupun tiada bertungku. Saya berendam air panas semasa mandi selama setengah jam setiap pagi. Ini petua mengikut logik akal saya, tidak dari ibu saya.
Semasa melahirkan anak kelima saya menyapu sampah semasa dalam tempoh berpantang. Selepas menyapu, keesokkan harinya tangan saya menjadi ‘tidak kuat’ atau ‘lemah’ untuk membuat sebarang kerja.
Pada waktu anak keenam saya dapati badan saya terasa sakit apabila di’kasari’ suami semasa kami ‘bersama’. Saya merasakan mungkin badan telah tua dan anak juga telah ramai. Ada kalanya saya memarahi suami apabila digigit yang selama ini adalah satu keseronokan bagi saya.
“Jangan nanti jadi tunggul kayu. Digolek ke kiri, ke kirilah baringnya. Digolek ke kanan, ke kananlah baringnya.” Nasihat ibu terus menerjah ke telinga.
Kelahiran anak ketujuh di Malaysia telah meng’ubat’ masalah di atas. Selepas dua hari melahirkan, sebaik saya pulang dari hospital suami terus mencari daun untuk ‘rebusan mandian’ yang terdiri dari daun pandan, daun serai wangi, daun lamuni dan daun kaduk. Saya mandi selama lebih sepuluh hari.
Daun di atas direbus di dalam periuk. Lima liter dengan lima hingga sepuluh helai daun mengikut saiz direbus selama sejam. Kemudian dicampur dengan air paip sehingga suam dan dijirus ke badan sebagai bilasan akhir apabila saya mandi. Saya sabun badan, bersihkan sabun dan jirus dengan ‘rebusan mandian’ tadi sebagai bilasan terakhir sebelum badan dikeringkan dengan tuala. Mungkin tuala bertukar warna sedikit namun anda boleh membasuhnya segera untuk mengurangkan warna yang ter’lekat’.
Selepas berpantang saya terasa amat segar dan bertenaga semasa melakukan hubungan intim bersama suami. Saya bayangkan seperti semasa hari pertama perkahwinan saya.
Entah bila keseronokan begini saya tidak merasainya kerana sebaik selepas melahirkan anak keenam, badan saya sudah menjadi amat teruk. Perubahan yang berlaku terlalu perlahan dan saya tidak menyedarinya sehinggalah badan saya sudah menjadi amat lemah dan tidak bertenaga. Ianya mengambil masa hampir sepuluh tahun selepas kelahiran anak keenam.
“Jika sakit berterusan, maka lama kelamaan kita sudah tidak terasa sakitnya kerana sudah ter’biasa’ sakit.’ Kita akan sedar kita sakit sebaik sakit tersebut hilang.” Saya teringat kata-kata nasihat ibu saya. ‘Imune’ kata bahasa Inggeris.
Semasa berpantang anak ketujuh, pernah sekali saya menghirup setengah mangkuk kecil sup ayam yang mengandungi sebiji cili merah besar yang tidak dipotong. Empat liter air bersama setengah ekor potongan ayam beserta perencah sup bunjut.
Pada hari tersebut, hari ke dua puluh saya berpantang suami meletakkan sebiji cili merah besar beserta tangkai tanpa dipotong. Selepas setengah jam saya menghirup setengah mangkuk sup ayam tersebut saya dapat rasakan saya terkencing dalam jumlah yang sedikit. Saya periksa dan mendapati cecair jernih keluar dari rahim saya yang sudah agak kering. Kebiasaannya selepas tiga minggu melahirkan, darah sudah berkurang. ‘Pad’ akan dicemari darah selepas tiga jam saya membersihkan rahim saya.
Saya ingatkan saya terkencing kerana saya dapat rasakan terkeluarnya cecair jernih tersebut. Selepas kejadian ini saya tidak berani lagi mengambil sebarang cili dalam masa berpantang.
Pada hari kedua puluh lima saya berpantang, saya duduk di atas tikar yang dibentangkan di atas simen. Selepas lebih kurang dua puluh minit, saya dapati saya tidak dapat ‘mengarahkan’ kaki saya untuk bangun. Terasa seolah-olah otak dan saraf di kaki dan paha saya sudah tidak dapat ‘berhubung’. Saya terpaksa menggunakan tangan saya untuk menggerakkan kaki dan paha saya untuk bangun.
“Sejuk’ simen amat berbisa. Badan yang sihat akan jadi rosak jika sering tidur di atas simen inikan pula semasa berpantang. Jangan sesekali duduk di atas simen walaupun beralaskan tikar. Lapikkan dengan papan jika tidak ada katil atau jika terpaksa tidur di simen.’ Pesan ibu lagi.
Semua pesanannya kembali jelas diingatan sebaik setiap masalah timbul pada diri saya semasa berpantang. Takut kembali menyelubungi fikiran saya kerana saya terasa seperti sudah ‘lumpuh’. Maklumlah saya tidak dapat berdiri langsung pada waktu itu.
Saya mengurut kaki dan seluruh anggota kaki dan paha saya perlahan-lahan sebaik daya dapat duduk di atas katil. Selepas beberapa ketika kaki saya kembali seperti asal.
Pernah sekali saya bangun pagi dan mendapati mata saya seperti sudah lumpuh. Kelopak mata saya tidak dapat dibuka secepat yang sepatutnya. Sebaik saya pejamkan mata dan membuka mata saya, kelopak atas mata saya akan terbuka secara perlahan. Rahang pipi saya juga terasa seolah-olah saya menghidapi ‘strok’ kecil kerana saya mendapati amat sukar untuk saya bertutur dengan baik.
Saya sebenarnya tidur berkipas pada malam yang sejuk. Kebetulan dua tiga malam sebelum ini hujan turun. Sebelum ini saya tidak menghadapi sebarang masalah kerana udara panas di luar dan dalam rumah tidak memberikan kesan pada badan saya walaupun saya berkipas.
Memandangkan hujan di luar rumah, badan saya menjadi sejuk sepanjang dua malam saya tidur di dalam bilik.
Selepas apa yang saya alami, saya amat berhati-hati memastikan saya mematuhi pantang larang sepanjang tempoh berpantang selepas melahirkan anak.
Anak saya yang ke lapan hingga ke tiga belas tidak memberikan apa-apa masalah kepada saya melainkan saya sudah tidak ada ‘masa’ untuk membengkung perut saya sebaik sebelum makan.
Makanya kini saya menghadapi masalah perut buncit kerana ‘otot’ pada perut seolah-olah tidak mahu mengecut kepada saiz asal. Kini saya berusaha namun tidak mendatangkan hasil walaupun anak ketiga belas saya sudah berusia dua tahun.
No comments:
Post a Comment