Bab 1 Kelahiran anak pertama.
Kelahiran anak pertama pada tahun 1985 sewaktu berumur 20 tahun berlaku di Amerika sewaktu saya menjadi seorang pelajar Tahun pertama. Sebelum itu saya mengalami keguguran.
Tarikh lahir saya 6 Julai 1964.
Tarikh perkahwinan pada 21 Oktober 1983.
Tarikh kelahiran anak pertama 1 Februari 1985.
Saya mengetahui kepentingan berpantang semenjak belasan tahun lagi namun tidak secara terperinci melalui ibu saya(secara tidak langsung) semasa beliau menerangkan kelebihannya kepada kakak saya yang melahirkan anak pertamanya pada waktu itu.
Selepas mengalami keguguran anak pertama yang berusia tiga bulan kandungan, saya terus makan dan melakukan aktiviti seperti biasa sebaik kering darah nifas. Darah keguguran hanya mengambil masa tiga minggu sahaja. Perhubungan suami isteri juga seperti biasa.
Selepas beberapa waktu vagina saya sering mengeluarkan cecair jernih dan akan menjadi bertambah banyak apabila hubungan intim suami isteri berlaku.
Perasaan malu bercampur takut menyelubungi jiwa. Teringat kata-kata ibu sewaktu saya membantu menjaga kakak yang melahirkan anak sulungnya.
“Kita perempuan sebaik beranak mesti jaga makan minum dan kesihatan. Kalau dah berair bila bersama suami, tentu suami cari lain.” Kata-kata ibu bermain di dalam fikiran.
“Alaaaah. Kalau dah takdir apa boleh buat. Jodoh di tangan Tuhan.” Sampukku. Aku sering menyanggah setiap butir nasihat yang ibu beri.
“Ya lah! Kalau badan tu elok, dibuang tentu ada orang yang sambut. Tapi kalau badan tak elok orang nak sambut tetapi kita sendiri yang terpaksa tolak. Dah malu pada diri sendiri. Tahu sendiri badan kita elok atau tak elok.”
Ibu terus menceritakan bagaimana rakan karibnya yang menolak setiap ajakan lelaki yang ingin mengahwininya selepas diceraikan. Rakan
ibu menceritakan betapa malunya beliau untuk berkahwin lain kerana rahimnya sentiasa basah sepanjang masa. Malah beliau terpaksa memakai ‘pad’ sepanjang masa.
Takut, malu, risau dan bimbang menyelubungi jiwa.
Apabila ber’satu’, kemaluan saya akan mengeluarkan angin. Kalau angin pada dubur tentulah kentut tetapi kalau angin pada kemaluan nak dipanggil apa?
Ibu tidak menceritakan pula masalah ‘kentut’ pada kemaluan atau saya tidak terdengar perbualannya dengan kakak. Agaknya akan di panggil ‘bedilan meriam buloh’.
Satu lagi, sebaik suami rancak melakukan ‘aktiviti’nya, terdengar pula bunyi seperti kita berjalan di dalam lumpur. Bayangkan kaki kita di letakkan di dalam lumpur kemudian diangkat dan diletakkan semula berkali-kali.
“Nanti bila bersama suami, yang bawah tu pula ‘speaking’.” Terngiang-ngiang kata-kata ibu sewaktu bercerita tentang akibat tidak berpantang dengan betul.
Selang lebih kurang tiga bulan kemudian saya mengandung lagi. Kandungan anak pertama. Masalah di atas semakin berkurangan sebaik umur kandungan meningkat. Hati terasa sedikit lega.
“Jika hendak ke kelas, bengkong perut kemas-kemas dan berjalan dengan penuh hati-hati supaya rahim tidak goyah.” Nasihat ibu sebaik sahaja mengetahui saya mengandung.
Selepas melahirkan anak pertama saya benar-benar berpantang tetapi tidak sebaik yang sepatutnya kerana saya terpaksa ke kuliah selepas dua minggu melahirkan anak.
Cuaca di Pueblo Colorado pada waktu itu pula kebetulannya musim sejuk atau musim salji. Salji turun dan saya terpaksa ke kuliah meredah salji setiap masa. Saya memakai ‘winter coat’ namun sejuknya tetap terasa.
Lada hitam yang saya makan bersama nasi panas mungkin membantu badan saya kekal baik.
Saya menjaga makan, membengkong perut dan memastikan saya berjalan dengan penuh hati-hati.
“Jika dalam pantang, suamipun tak boleh melintas.” Ibu memberi nasihat lagi.
Maksudnya saya tidak boleh pandang suami dengan perasaan bernafsu kerana kata ibu “sekiranya kita bernafsu, rahim akan mengembang.”
Sepatutnya rahim terus menerus mengecut semasa dalam tempoh 40 hari sebaik selepas melahirkan anak.
Wah. Ini dah jadi bahan jenaka.
Bau tak boleh. Nanti ter’on’.
Lihat pun tak boleh.
Kami suami isteri bergurau semasa saya dalam tempoh berpantang.
No comments:
Post a Comment