Sunday, 29 November 2015

ANAK ialah ANUGERAH


ANAK
ialah
ANUGERAH
BAHAGIAKAN MEREKA
Setiap anak dilahirkan unik. Tidak ada yang sama walaupun mereka kembar seiras.
Semua bayi yang normal, sihat dan cergas adalah menjadi kebanggaan ibu bapa mereka. Semua tingkah laku, gerak geri, senyuman memberikan kebahagian yang paling bermakna buat ibu dan ayah.
Namun apabila meningkat ke alam remaja, kebanyakan ibu bapa yang tidak memahami kejadian Yang Maha Esa mendapati mereka merasa resah dan tertekan dengan kerenah remaja yang berbagai ragam. Ramai yang tidak sedar akan perbezaan manusia, ciptaan Allah yang paling unik dan sempurna.
Kini ibu bapa mahukan anak-anak cemerlang di dalam peperiksaan, melihat anak mendapat anugerah yang berbagai dan menjadi doktor atau peguam ternama. Kegagalan anak-anak dirasakan kegagalan mereka juga.
Maka perlumbaan inilah yang berlaku pada masa kini dimana ibu bapa bertungkus lumus berhabis wang dan masa demi ‘kejayaan’ anak-anak tercinta. Pelajar pergi tuition atau guru persendirian yang di datangkan ke rumah untuk meningkatkan keupayaan anak-anak menjawab soalan di dalam peperiksaan.
Perlumbaan inilah yang meragut nyawa seorang pelajar di Kuala Lumpur, saat di mana saya sedang menulis buku ini, tanggal 24 November 2015. Amat menyayat hati.

KEJADIAN TUHAN YANG UNIK
Kita perlu faham akan kejadian Tuhan sepertimana kita perlu faham kejadian sebuah kereta yang dicipta manusia. Kereta boleh bergerak di darat, kapal selam di air.
Makanya jika kereta kita bawa ke air, kereta rosak.
Begitu juga manusia, kejadian Tuhan yang Maha Esa.
Anak-anak yang bijak melukis, makanya kita cenderungkan mereka ke arah itu, bukannya ajar dan latih untuk bijak Add Math. Boleh tetapi apa gunanya anak-anak berhabis umur dan wang berlatih Add Math sedangkan minatnya pada melukis atau bermain muzik?
Seorang rakan saya ‘kecewa’ kerana anaknya ‘tidak bijak’ sebagai seorang doktor. Apabila saya menceritakan kejadian manusia(hampir 2 tahun), rakan saya merasa ‘gembira’  katanya
“Dulu setiap kali anak perempuan saya main piano, saya akan larang.  Jangan main piano jika saya ada di rumah.”
Kini dengan bangganya dia kata “Anak saya sejak kecil, dengar aje muzik, dia boleh tulis lirik lagu, baru umur 7 tahun.”
Kini dia menghantar anak perempuannya ke Amerika untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik. Sekarang setiap kali anaknya buat persembahan, dialah ibu yang paling bahagia sedangkan dahulunya impiannya ialah untuk mendapat anak yang bekerja sebagai seorang doktor atau peguam.
Wang ada, rumah berjuta, anak 2.










BAHAGIAN  1            KEJADIAN MANUSIA
BAB 1                         5 SIFAT MANUSIA
BAB 2             BIJAK LOGIK,  BIJAK SENI
BAB 3             5 BAHASA CINTA
BAHAGIAN 2               KERJAYA MASA KINI
BAB 4             KERJAYA SENI
BAB 5             KERJAYA LOGIK
BAB 6             KERJAYA PERNIAGAAN
BAB 7             KERJAYA SOSIAL
BAB 8             KERJAYA PERTANIAN
BAB 9             KERJAYA AMAL
BAB 10           KERJAYA ‘GHAIB’
BAHAGIAN 3             DIDIKAN AGAMA
BAB 11           DIRI SEBAGAI CONTOH
BAB 12           AMALAN DI RUMAH
BAB 13           KELUARGA
BAB 14           RAKAN
BAB 15           JIRAN DAN MASYARAKAT
BAB 16           MEDIA DAN BACAAN










BAHAGIAN 1

KEJADIAN MANUSIA

BAB 1            5 SIFAT MANUSIA
BAB 2            BIJAK LOGIK,  BIJAK SENI
BAB 3            5 BAHASA CINTA






Pertama saya akan terangkan 5 sifat manusia yang saya baca(4 yang diberikan tetapi saya tambah 1 lagi iaitu Tenaga) dari bahan pembacaan ilmuan hebat timur dan barat.
Kedua saya akan terangkan bahawa manusia dilahirkan samada bijak mengira(logik) atau bijak seni(art).
Ketiga saya akan terangkan 5 bahasa cinta(5 love languages).
Jika kita faham kejadian Tuhan yang unik, tentu kita akan lihat anak-anak kita sebagai satu anugerah yang paling bermakna dan yang amat memberikan kita kebahagian. Anak adalah zuriat kita yang Allah anugerahkan kepada kita seumpama kain putih yang perlu kita corakkan. Corak yang kita pilih itu adalah dalam bentuk agama, yang lain Allah uruskan segalanya. Anda akan faham maksud saya apabila membaca setiap contoh dan penerangan yang saya berikan.
            Dalam buku motivasi yang ditulis oleh penulis hebat timur dan barat, berbagai teknik dan contoh yang diberikan yang dapat memberi manafaat kepada kita semua.
WANG BUKAN SEGALANYA. IBU BAPA YANG SAYA PILIH. SAYA SANGGUP BERHENTI KERJA.
            Ramai ibu bapa termasuk masyarakat mendidik anak-anak dengan memberikan gambaran wang yang dapat membahagiakan mereka.
Namun tidak semua manusia di muka bumi ini merasakan demikian. Makanya iman yang perlu kita tanam di dalam jiwa anak-anak, bukan wang atau harta benda yang nyata, yang nampak di mata yang memberi kebahagiaan.
            Ramai insan yang melihat hanya taat kepada kedua ibu bapa yang membahagiakan mereka. Ramai di kalangan kita yang merasakan mereka bahagia apabila mereka melihat ibu bapa mereka bahagia, kebajikan kedua ibu bapa terjaga dan dapat sentiasa melihat kedua ibu bapa mereka tersenyum.
            Saya amat kagum melihat anak-anak sebaya saya yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibu atau bapa yang terlantar sakit. Mereka tidak pernah terfikir akibat yang mereka akan hadapi yang pasti makan dan minum mereka menjadi terhad, tiada lagi dapat merasa nikmat makanan yang lazat dan sedap. Apa lagi tidur yang cukup.
            Namun sesiapa yang dapat merasa cahaya iman, tidak ada apa-apa lagi yang mereka inginkan. Tatkala rakan sebaya sibuk membeli-belah, memandu kereta mewah, tinggal di rumah yang selesa, mereka hanya menjaga ibu atau ayah yang sakit, tiada lagi pendapatan tetap bulanan, tiada lagi tidur yang selesa dan tiada rakan taulan untuk bermesra. Yang ada hanyalah ibu atau bapa yang sakit yang perlu disuapi dan perlu dimandi.
            Anak-anak yang kita didik yang tidak mengikut kehendak kita yang membuatkan kita kecewa dan marah. Dari segi pendidikan anak-anak amat berbeza minat dan pencapaian mereka.
            Ramai anak-anak yang gemar belajar sehingga ke peringkat PhD, peringkat yang paling tinggi, mengecewakan ibu bapa yang inginkan anak mereka untuk mewarisi empayar perniagaan mereka.
            Ramai pula anak-anak yang minat berniaga, sehingga membuatkan ibu bapa yang mahukan anak melepasi menara gading menjadi marah.
            Ramai pula yang didapati buta huruf sedangkan ibu bapa tergolong dari golongan guru atau bijak pandai.
Dalam pergaulan, anak-anak juga berbeza sifat mereka.
            Anak-anak yang pendiam yang suka bersendiri tidak akan disenangi ibu bapa yang suka bergaul dan beramah mesra dengan rakan taulan dan saudara mara.
            Anak-anak yang suka mengarah tidak akan disukai ibu bapa yang pantang anak-anak memaksa ibu bapa berbuat itu dan ini.
            Sekiranya ibu bapa memahami setiap perciptaan manusia, unik dan berbeza ini, mereka tentu akan melayan anak-anak sebaik-baiknya dan sentiasa mengembirakan mereka.


Buta Huruf   I__________________________________________________________I  Bijak Matematik
Di manakah kedudukan anak-anak anda?
Adakah anda akan merasa malu jika anak-anak anda berada pada aras paling kiri?
Perlukah anda merasa malu?
Mengapa anda perlu rasa malu?

           












BAB 1
5 SIFAT MANUSIA
5 sifat manusia iaitu Sosial, Arah, Rancang, Diam dan Tenaga(SARaDiT).









BAB 2
BIJAK LOGIK,  BIJAK SENI
Manusia dilahirkan samada bijak mengira(logik) atau bijak seni(art).














BAB 3
5  BAHASA CINTA

5 bahasa cinta(5 love languages) Pujian, Sentuhan, Masa, Pertolongan dan Hadiah
Saya memberikan anak-anak saya semua yang tersenarai di atas iaitu memuji pencapaian mereka walaupun sedikit dan tidak endahkan perkara yang tidak saya sukai, 
kerap memegang mereka apabila bercakap, 
mendengar hampir semua cerita yang mereka ingin sampaikan(waktu makan bersama) kerana saya sentiasa sibuk mengemas, bertanam dan membersih rumah serta bekerja sebagai seorang guru yang sentiasa ada buku-buku pelajar yang perlu disemak di rumah,
berkhidmat untuk mereka dan
sentiasa jadikan masakan istimewa sebagai hadiah untuk mereka.








            Gary Chapman menulis dalam bukunya “The Five Love Languages of  Teenagers” 2000 Northfield Publishing(259 mukasurat) menceritakan

1 Kata kata pujian
2 Sentuhan
3 Masa
4 Pertolongan
5 Pemberian hadiah
diperlukan oleh setiap individu dan yang paling disukai bergantung kepada individu.
            Sebagai ibu bapa, kita perlu mengkaji dan menyelidik apa yang paling didamba oleh anak-anak kita. Salah satu dari 5 Bahasa Cinta di atas amat bermakna buat anak-anak kita yang membuatkan mereka fikir kita amat sayangkan mereka.
Anak-anak sayangkan kita.  Di bawah saya paparkan apa yang anak-anak kata tentang ibu bapa mereka.

1 Kata kata pujian : Saya tahu ibu saya sayangkan saya. Setiap kali saya melakukan sesuatu, mereka akan memuji kerja saya seperti
 “Saya hargai pertolongan kamu menjaga adik ketika saya keluar membeli barang keperluan dapur.” Atau
“Kerja kamu amat bagus hari ini. Saya amat sukakannya. Rumah kemas dan bersih.” Apabila saya menolongnya mengemas rumah.
Anak perlu dipuji secara ikhlas dan nyatakan apa yang mereka telah buat yang membuatkan kita memuji mereka.

2 Sentuhan : Ibu saya amat sayangkan saya. Mereka sentiasa memeluk saya apabila kami berjumpa. Saya dipeluk apabila saya mendapat melakukan tugasan saya dengan baik.
Jika mereka remaja, mereka akan suka jika kita peluk sebelum mereka tidur atau sebelum mereka pergi ke sekolah.
3 Masa : Setiap masa ibu atau bapa saya akan sentiasa mendengar apa yang saya ingin cerita. Mereka akan berhenti dari berbuat apa-apa dan mendengar cerita saya.
Anak-anak akan suka jika kita dapat duduk ketika makan dan mendengar apa yang mereka ingin ceritakan.

4 Pertolongan:  Ibu dan bapa saya akan menolong saya membuat kiraan matematik yang sukar ini.
Pertolongan yang mudah seperti membasuh baju mereka ketika mereka kelihatan penat atau membasuh pinggan untuk mereka.

5 Pemberian hadiah: Setiap waktu, apabila saya masuk ke bilik saya, saya akan teringatkan betapa sayangnya ibu dan bapa saya terhadap saya. Mereka belikan semua barang-barang yang ada di sini.

Apa apa yang kita ingin belanjakan kepada anak-anak, tidak perlu mahal. Yang penting kita pasti mereka amat sukakan hadiah yang kita berikan dan anak-anak mengetahui itu adalah hadiah yang ikhlas dari kita. Raikan pemberian hadiah walaupun tidak secara besar-besaran dengan parti atau pengumuman yang kuat.
Saya akan menyajikan makanan yang lebih lazat dan berbeza dari hari-hari biasa. Saya akan umumkan “Esok kita makan lauk ayam sebab kamu semua baik pada ibu.” Lauk ayam ni saya hidang seminggu sekali sahaja, tapi jadikan sebagai satu hadiah. Nyatakan dengan jelas.






Wednesday, 25 February 2015

Situasi 9 tahun lepas.

Situasi 9 tahun lepas.


Tindakan yang saya lakukan selama 9 tahun bertugas. Suasana di kawasan sekolah pada 9 tahun lepas.  


Situasi 1.


Sebaik loceng berbunyi menandakan waktu pengajaran dan pembelajaran anda tamat, pelajar terus berlari keluar berkejaran mengelilingi pokok di luar kelas Peralihan. Anda terpaksa menghalau mereka masuk ke kelas sekiranya anda ditugaskan mengajar kelas tersebut. Ramai guru yang tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Kedengaran perkataan “monkey” dari mulut kebanyakan guru. Saya mula memikirkan cara untuk memastikan mereka berada di tempat duduk sebaik saya masuk kelas. “Sesiapa yang tidak berdiri di tempat duduk sebaik saya masuk, saya akan catatkan nama kamu. Jika berulang banyak kali, saya akan hukum kamu.” Percayalah, pelajar yang paling banyak membuat kesalahan dan yang paling lambat berdiri di tempat duduk adalah pelajar yang paling nakal. Anda berjaya mengawal kelas jika anda dapat ‘mengawal’ pelajar nakal ini sepenuhnya. Pada kebiasaannya pelajar ini tidak akan membuat latihan yang diberikan, bising, suka membuat kacau dan pelajar bermasalah. Kawal pelajar ini betul-betul. Maksud ‘mengawal’ ialah dengan mengambil tindakan tegas dan jika masih tidak berubah, pastikan pelajar nakal ini berhenti sekolah. Keadaan kelas akan bertambah baik. 


 Situasi 2.


Pelajar keluar kelas tanpa ‘pas keluar’. ‘Pas keluar’ ini dipegang oleh setiap guru. Pelajar akan dapat keluar hanya dengan menggunakan pas keluar. Satu pas satu pelajar dan seorang guru diberikAn satu pas sahaja. Mereka tidak menghiraukan amaran guru disiplin dan guru-guru dileteri hampir sepanjang waktu mesyuarat kerana tidak menjalankan tugas, menegur pelajar yang keluar tanpa pas. Setiap kali guru disiplin menegur pelajar yang tiada pas keluar di kawasan sekolah, beliau  menanyakan pas dari pelajar, memberi teguran dan menyuruh pelajar tadi pulang ke kelas tanpa merotan mereka. Guru disiplin dibenarkan membawa dan menggunakan rotan.Sebaik sahaja guru disiplin berlalu, pelajar tadi keluar dari arah mereka beredar dan terus ke tempat yang dituju kerana guru disiplin sudah berjalan ke arah lain. Saya mencadangkan setiap kali pelajar keluar tanpa pas, mereka perlu dirotan terus tanpa amaran lagi.Kini tiada lagi pelajar yang secara suka-suka keluar kelas tanpa ‘pas keluar’.




Situasi 3.


Pelajar tidak memakai baju dengan kemas, iaitu membiarkan baju terjelir keluar. Mereka sepatutnya memasukkan baju ke dalam seluar. Guru disiplin menyuruh pelajar memasukkan baju, menasihati pelajar dan berlalu. Sebaik membelakangi guru disiplin, mereka terus mengeluarkan baju keluar.Kesalahan ini tidak boleh diambil ringan kerana pelajar ini perlu dikategorikan sebagai ‘mencabar dan melawan’ peraturan sekolah secara terbuka.  Saya mencadangkan pelajar terus dirotan kerana kesalahan ini sepatutnya tidak berlaku. Kini tidak ramai pelajar yang berpakaian demikian. Sekiranya saya dibenarkan menggunakan rotan, saya tidak akan teragak-agak merotan mereka kerana kesalahan demikian dikira sengaja. Hari kedua ke sekolah, pelajar sepatutnya sudah maklum cara berpakaian di dalam sekitar sekolah. Kesalahan sama seperti di atas iaitu sebagai kesalahan ‘mencabar dan melawan’ peraturan sekolah secara terbuka.  


Situasi 4.


Semasa saya sedang mengajar, saya dapati beberapa pelajar dari tingkatan dua mengumpulkan beberapa pelajar dari tingkatan satu di satu sudut. Mereka semua sememangnya terdiri dari pelajar bermasalah yang sering menganggu kelas. Saya dapat melihat mereka sibuk berbincang tentang sesuatu. Saya pasti pelajar yang lebih tua ‘mengajar sesuatu’ kepada pelajar yang muda, dari tingkatan 1. “Puan, saya pasti pelajar-pelajar senior melatih pelajar junior sesuatu. Saya akan dapatkan nama mereka dan berikan kepada Puan. Saya harap Puan mengambil tindakan tegas terhadap mereka sebelum perkara lebih buruk berlaku. Pelajar tingkatan dua keluar kelas beramai-ramai mengumpulkan beberapa pelajar muda dari kelas yang berlainan.” Saya memberikan cadangan kepada Penyelia petang. Pernah seorang pelajar yang berbadan kecil amat berani membuli rakan sekelasnya dengan mengambil meja dari salah seorang pelajar yang berperangai baik dan pendiam. Selepas mendapat laporan tentang kes buli ini saya ke kelas dan kelihatan seorang pelajar duduk dikerusinya tanpa meja. Saya menyerahkan meja kepadanya dan pulang semula ke kelas untuk menyambung tugas saya mengajar. Beberapa puluh minit kemudian saya mendapat laporan kes yang sama dari kelas yang sama melibatkan pelajar yang sama. Saya tertanya bagaimana seorang pelajar yang berbadan paling kecil dengan raut wajah yang mulus berani membuli rakannya. Pelajar lain tidak berani berbuat apa-apa! Kejadian ini berlaku sebanyak 3 kali yang membuatkan saya naik marah, terus membawa pelajar pembuli tadi berjumpa dengan pengetua. Setelah puas menerangkan apa yang berlaku dan pelajar tadi juga ‘naik angin’ dan menuturkan perkataan yang tidak sepatutnya, beliau di hukum dengan hukuman yang berat. Saya pernah bertembung dengan pelajar pembuli ini di luar bilik disiplin. Siapa sangka seorang kanak-kanak tingkatan satu yang bermuka mulus bertindak sedemikian. Beliau pandai berlakon di hadapan guru disiplin dan sering terlepas dari menerima hukuman sehinggakan beliau naik lemak. Saya yakin beliau mendapat ‘perlindungan’ dari pelajar tingkatan dua! 



Situasi 5.


Kata-kata dari guru disiplin seperti “Puan sering menghantar pelajar bermasalah kepada guru disiplin. Kenapa tidak dapat kawal sendiri?” Sedangkan pelajar-pelajar yang saya hantar adalah yang paling teruk perangainya melebihi seorang ketua gangster. Latihan berbulan tidak hantar dan membuat kacau di dalam kelas hampir setiap waktu! Saya mencatat setiap kesalahan mereka dan menghantar mereka kepada guru disiplin hanya kerana kes kritikal. Jika tidak hantar kepada guru disiplin, kepada siapa perlu saya hantar pelajar yang paling bermasalah ini! Saya naik marah dan tahun ini saya mengeluarkan kata-kata kasar seperti “Puan. Saya mahu pelajar bermasalah ini diambil tindakan tegas! Saya tidak mahu kelas saya menjadi seperti kelas 2A6 tahun lepas. Akhir tahunpun masih ramai pelajar yang berani keluar kelas berkejaran walaupun guru disiplin berdiri di hadapan kelas mereka! Semua guru tidak berani berbuat apa-apa, bising sepanjang masa dan keputusan peperiksaan mereka jatuh!” Logiknya jika pelajar bermasalah ini yang beberapa orang sahaja(paling ramai 3 pelajar bermasalah berat bagi setiap kelas) tidak di ambil tindakan atas sikap buruk mereka, lebih ramai pelajar yang akan menjadi jahat dan nakal kerana pengaruh negatif. Anda tidak lagi dapat bezakan mana pelajar yang sememangnya nakal atau yang terikut-ikut. Fahamilah penerangan tentang sikap seseorang manusia iaitu SARaDiT. Anda mampu mengenal pasti pelajar yang sememangnya amat bermasalah. Jika anda benar-benar memahami, makanya senanglah anda menjalankan tugas anda dengan cekap dan mudah. Seperti kata pepatah, ‘hanya jauhari yang mengenal manikam.’  


 

Situasi 6.


Pelajar sering berlakon baik dan memberi maklumat berbeza dengan apa yang sebenarnya berlaku. Mereka ada kalanya menggunakan air mata sebagai senjata untuk membela diri mereka. Saya amat kecewa kerana guru disiplin sering menegur saya seolah-olah saya membohongi mereka.“Puan, saya rasa apa yang Puan ceritakan itu berbeza dengan apa yang berlaku.” Kenyataan ini mengambarkan saya menghukum pelajar baik. Ramai pelajar mula berani keluar beramai-ramai seolah-olah menjadi saksi ke atas kelakuan buruk saya. Mereka dengan sengaja berlaku biadap terhadap saya dan membuatkan saya menghantar mereka kepada guru disiplin. Selepas itu beberapa pelajar mengekori pelajar bermasalah ini ke bilik disiplin. Saya mula mensyaki sesuatu. Saksi-saksi ini tersenyum sambil melangkah keluar ke bilik disiplin beramai-ramai yang terdiri dari tiga hingga empat pelajar tanpa meminta kebenaran dari saya terlebih dahulu. Makanya setiap kali saya menghantar pelajar ke bilik disiplin, saya akan bertanyakan apa yang pelajar bermasalah ini cerita? Alangkah terkejutnya saya apabila pelajar yang kelihatan baik ini(pengawas) mengatakan beliau hanya bertanyakan soalan “Nak buat latihan dalam buku mana” kepada rakannya. “Dan Puan Norlaila menghukumnya hanya sebab itu!”  Sedangkan beliau sentiasa bercakap-cakap sepanjang saya memberi penerangan kepada semua pelajar. Malah saya belum lagi menyuruh mereka membuat apa-apa latihan! Saya terpaksa menjelaskan perkara sebenar dengan nada kecewa. Seorang guru tidak diberikan peluang membela diri dan mereka sentiasa dipersalahkan. Saya mencadangkan guru disiplin mengambil kelas angkat dimana seorang guru disiplin akan menjadi guru disiplin kelas tertentu sepanjang tahun. Maknanya seorang guru disiplin akan menjaga pelajar bermasalah yang sama sepanjang tahun. Pelajar tidak lagi dapat berlakon kerana semua guru akan menghantar pelajar yang sama kepada guru disiplin yang sama. Masalah guru dipersalahkan berkurang.  


Situasi 7.

 “Cikgu, saya mana ada berjalan. Saya hanya bercakap-cakap!” tengking seorang pelajar apabila saya mengatakan beliau bercakap menganggu pengajaran di kelas, berjalan-jalan, menjerit dan tidak membuat latihan yang diberikan pada awal tahun ini 2014. “Memanglah kamu sekarang ini hanya bercakap-cakap. Tetapi dari mula saya masuk, kamu berjalan-jalan tidak mahu duduk walaupun saya suruh berkali-kali, tidak membuat latihan yang diberikan- tak bacapun kertas yang saya edarkan!, menganggu kelas semasa saya memberikan penerangan di awal waktu tadi dan melawan guru sebelum ini!” terang saya dengan tegas. Wah! Mana mungkin seorang manusia membuat semua perkara dalam waktu yang sama tetapi masih ada guru disiplin yang terfikir perkara sedemikian yang membuatkan mereka mengatakan guru berbohong. Saya masih tidak faham kenapa perkara ini berlaku! Barulah saya faham apa sebenarnya terjadi. Selepas hampir sepuluh tahun bertugas. Saya harap semua guru-guru disiplin di Malaysia yang terlibat benar-benar memahami situasi sebenar sebaik membaca coretan saya ini yang sering dibincangkan di luar ‘bilik mesyuarat’ iaitu ‘mesyuarat tingkap’! Pertengkaran dengan guru disiplin kerap berlaku di awal saya bertugas kerana sikap sebegini. 

WALAUPUN APA CABARAN YANG ANDA HADAPI ANDA PERLU BERTINDAK TEGAS KERANA ANDALAH YANG BERKUASA DI SEKOLAH, AMANAH YANG DIBERIKAN KEPADA ANDA OLEH TUHAN.






Cabaran di SMK Jinjang.


Cabaran Satu.

SMK Jinjang mempunyai pelajar dari keluarga ketua gangster yang dihantar ke sekolah untuk dididik oleh guru-guru. Ramai diantara mereka mempunyai sikap agresif, melawan suka mengacau dan degil. Pernah saya menghukum seorang pelajar perempuan yang kasar dan suka membuli pelajar lelaki lain di dalam kelasnya. Beberapa guru berbisik ke telinga saya mengatakan ‘Itu anak ganster!’ dengan harapan saya tidak terlalu berkeras dengan pelajar ini. Mereka risaukan keselamatan saya. Teringatkan banyak buku yang saya baca dan filem yang saya saksikan saya bertekad untuk mendidik pelajar sepertinya. Logik pertama saya ialah Seorang ayah ketua gangster tidak akan menghantar anaknya ke sekolah SMK Jinjang jika benar beliau inginkan anaknya berperangai jahat. Tentunya beliau mempunyai banyak wang untuk mengupah seorang guru terbaik yang jahat untuk menjadikan anaknya pewaris, mempunyai perangai sepertinya, zalim dan tidak berperi kemanusiaan.Jadi saya menerima amanatnya dengan baik. Logik kedua ialah sekiranya saya mati dibunuh oleh pembunuh upahan ayah pelajar tadi, maka saya sanggup mati dari takutkan manusia. Tuhan telah menghantar saya ke sekolah ini bersebab. Sekiranya saya tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap perangai buruknya, saya tergambarkan … pelajar ini meningkat dewasa dan Tuhan hantarkan beliau ke rumah saya untuk merompak dan membunuh. Sebaik mengenali saya sebagai bekas gurunya saya tergambarkan beliau berkata pada saya saat saya ingin dibunuhnya dengan kata-kata, “Pada waktu cikgu mengajar saya dahulu, cikgu tidak mendidik saya dengan baik, membiarkan saya berperangai buruk dan takutkan saya lebih kepada yang lain. Pada waktu Cikgu berkuasa dan berpeluang menegur perangai buruk saya, menghalang tingkah laku keji saya, Cikgu tidak berbuat apa-apa.” Lalu saya dibunuhnya tanpa belas kasihan. Ingatan inilah yang membuatkan saya berani mendidiknya walaupun beberapa kali saya diugut dan kereta saya dicalar oleh pelajar yang tidak saya ketahui. Akhirnya pelajar tadi amat menyayangi saya, mengambil berat terhadap saya dan sering menegur saya setiap kali bertemu. Perangai beliau yang kasar bertukar menjadi sedikit lembut dan mudah tersenyum.



Cabaran Kedua

Pelajar mencuri, memukul rakan-rakan dan merosakkan harta sekolah tetapi perangai buruk mereka dibela oleh geng luar yang berkuasa. Pernah seorang guru kehilangan wang, membuat laporan polis tetapi dinasihati oleh Yang Dipertua PIBG supaya menarik balik laporanya. Kata-katanya …Jinjang terdiri dari gangster yang mambawa parang untuk melibas sesiapa yang mereka suka… berjaga-jaga… membuatkan hati ini kecut. Guru tadi juga mempunyai semangat guru sejati- tidak akan berundur demi mendidik anak-anak yang jahat supaya menjadi manusia berguna. Kami bersama-sama mendidik anak-anak yang tersasar dari landasan supaya menjadi manusia berhati mulia. Sekali guru takutkan pelajar, sampai bila-bila mesej yang disampaikan ialah guru adalah manusia yang boleh dijual beli, tidak tahu untuk mendidik dan tidak cekal menjalankan tugas.Membiarkan kejahatan berleluasa dan takutkan mati. Makanya, anak-anak yang tersalah memegang prinsip hidup akan lebih tersesat dan hidup tanpa arah tuju. Siapa yang akan mendidik mereka kebaikan jika bukan guru sedangkan rakan-rakan, komuniti dan keluarga mereka kebanyakannya sudah tersasar dari landasan yang betul? Gurulah pencetus ummah mulia, mendidik manusia kearah kebaikan. Mati sudah tidak menakutkan lagi.


Cabaran ketiga.

Pelajar datang ke sekolah tanpa kasut, baju atau alat tulis yang mencukupi dan ada kalanya lapar berhari tidak mendapat makanan yang cukup. Pelajar tidak membuat latihan dengan baik kerana terpaksa meminjam pen dari rakan yang juga tidak berkemampuan. Mereka terpaksa menunggu rakan menulis untuk menyiapkan tugasan sendiri. Buku latihan tidak dapat dibeli dan mereka kebanyakan keletihan kerana terpaksa bekerja sebelah malam.
 Saya belikan mereka pen dan buku latihan dan sekiranya mereka kelaparan, saya belikan mereka makanan. Saya terpaksa menjalankan aktiviti yang membolehkan mereka bergerak cergas yang kadangkala membuatkan kelas bising. 

Cabaran keempat.

Pelajar nakal yang sering dipukul bapa yang mabuk, melihat ibu dan adik beradik dipukul. Guru tempat mereka meluahkan perasaan kasih sayang. Apabila anda menyayangi mereka, anda akan mereka jadikan tempat untuk menumpahkan kasih sayang. 


Cabaran kelima.

Pelajar yang amat berkemampuan yang datang ke sekolah untuk belajar tetapi terpaksa menghadapi ramai pelajar bermasalah. Pengajaran dan pembelajaran yang mengambil masa yang lama sebelum bermula. Sampah yang dibuang merata tempat setiap masa setiap keadaan. Kelas yang bising dengan pelajar yang berlari-lari berkejaran. Saya mencatat segala kesalahan pelajar nakal dan menghantar kepada guru disiplin supaya kelas terkawal dan terurus. Sekolah ialah tempat untuk manusia berubah menjadi manusia yang lebih bertamadun dan sempurna dari zaman ibu atau ayah mereka. Akhirnya saya berjaya mendidik mereka walaupun tidak sempurna sepenuhnya. Saya dapat masuk ke kelas, setiap kelas, mereka mengucapkan selamat dengan berdiri tegak, ketawa sekiranya saya membuat jenaka, diam apabila saya menerangkan sesuatu, membuat latihan yang diberikan di dalam kelas, bermain permainan yang dijalankan dengan kerjasama sesama rakan dan tidak tidur semasa ujian dijalankan melainkan mereka sakit. Mereka berjenaka dengan saya, mengucapkan salam apabila berjumpa di kawasan sekolah dan ada kalanya teruja melihat saya apabila mereka sudah naik tingkatan ke sekolah sesi pagi.


Tanpa rotan

Ya benar. Saya tidak menggunakan rotan seperti yang diarahkan pihak kementerian. Saya berjaya akhirnya! Saya merasakan mereka semua adalah anak-anak saya yang ketujuh belas. 

SAYA CINTAKAN PELAJAR SAYA.