Wednesday, 25 February 2015






Cabaran di SMK Jinjang.


Cabaran Satu.

SMK Jinjang mempunyai pelajar dari keluarga ketua gangster yang dihantar ke sekolah untuk dididik oleh guru-guru. Ramai diantara mereka mempunyai sikap agresif, melawan suka mengacau dan degil. Pernah saya menghukum seorang pelajar perempuan yang kasar dan suka membuli pelajar lelaki lain di dalam kelasnya. Beberapa guru berbisik ke telinga saya mengatakan ‘Itu anak ganster!’ dengan harapan saya tidak terlalu berkeras dengan pelajar ini. Mereka risaukan keselamatan saya. Teringatkan banyak buku yang saya baca dan filem yang saya saksikan saya bertekad untuk mendidik pelajar sepertinya. Logik pertama saya ialah Seorang ayah ketua gangster tidak akan menghantar anaknya ke sekolah SMK Jinjang jika benar beliau inginkan anaknya berperangai jahat. Tentunya beliau mempunyai banyak wang untuk mengupah seorang guru terbaik yang jahat untuk menjadikan anaknya pewaris, mempunyai perangai sepertinya, zalim dan tidak berperi kemanusiaan.Jadi saya menerima amanatnya dengan baik. Logik kedua ialah sekiranya saya mati dibunuh oleh pembunuh upahan ayah pelajar tadi, maka saya sanggup mati dari takutkan manusia. Tuhan telah menghantar saya ke sekolah ini bersebab. Sekiranya saya tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap perangai buruknya, saya tergambarkan … pelajar ini meningkat dewasa dan Tuhan hantarkan beliau ke rumah saya untuk merompak dan membunuh. Sebaik mengenali saya sebagai bekas gurunya saya tergambarkan beliau berkata pada saya saat saya ingin dibunuhnya dengan kata-kata, “Pada waktu cikgu mengajar saya dahulu, cikgu tidak mendidik saya dengan baik, membiarkan saya berperangai buruk dan takutkan saya lebih kepada yang lain. Pada waktu Cikgu berkuasa dan berpeluang menegur perangai buruk saya, menghalang tingkah laku keji saya, Cikgu tidak berbuat apa-apa.” Lalu saya dibunuhnya tanpa belas kasihan. Ingatan inilah yang membuatkan saya berani mendidiknya walaupun beberapa kali saya diugut dan kereta saya dicalar oleh pelajar yang tidak saya ketahui. Akhirnya pelajar tadi amat menyayangi saya, mengambil berat terhadap saya dan sering menegur saya setiap kali bertemu. Perangai beliau yang kasar bertukar menjadi sedikit lembut dan mudah tersenyum.



Cabaran Kedua

Pelajar mencuri, memukul rakan-rakan dan merosakkan harta sekolah tetapi perangai buruk mereka dibela oleh geng luar yang berkuasa. Pernah seorang guru kehilangan wang, membuat laporan polis tetapi dinasihati oleh Yang Dipertua PIBG supaya menarik balik laporanya. Kata-katanya …Jinjang terdiri dari gangster yang mambawa parang untuk melibas sesiapa yang mereka suka… berjaga-jaga… membuatkan hati ini kecut. Guru tadi juga mempunyai semangat guru sejati- tidak akan berundur demi mendidik anak-anak yang jahat supaya menjadi manusia berguna. Kami bersama-sama mendidik anak-anak yang tersasar dari landasan supaya menjadi manusia berhati mulia. Sekali guru takutkan pelajar, sampai bila-bila mesej yang disampaikan ialah guru adalah manusia yang boleh dijual beli, tidak tahu untuk mendidik dan tidak cekal menjalankan tugas.Membiarkan kejahatan berleluasa dan takutkan mati. Makanya, anak-anak yang tersalah memegang prinsip hidup akan lebih tersesat dan hidup tanpa arah tuju. Siapa yang akan mendidik mereka kebaikan jika bukan guru sedangkan rakan-rakan, komuniti dan keluarga mereka kebanyakannya sudah tersasar dari landasan yang betul? Gurulah pencetus ummah mulia, mendidik manusia kearah kebaikan. Mati sudah tidak menakutkan lagi.


Cabaran ketiga.

Pelajar datang ke sekolah tanpa kasut, baju atau alat tulis yang mencukupi dan ada kalanya lapar berhari tidak mendapat makanan yang cukup. Pelajar tidak membuat latihan dengan baik kerana terpaksa meminjam pen dari rakan yang juga tidak berkemampuan. Mereka terpaksa menunggu rakan menulis untuk menyiapkan tugasan sendiri. Buku latihan tidak dapat dibeli dan mereka kebanyakan keletihan kerana terpaksa bekerja sebelah malam.
 Saya belikan mereka pen dan buku latihan dan sekiranya mereka kelaparan, saya belikan mereka makanan. Saya terpaksa menjalankan aktiviti yang membolehkan mereka bergerak cergas yang kadangkala membuatkan kelas bising. 

Cabaran keempat.

Pelajar nakal yang sering dipukul bapa yang mabuk, melihat ibu dan adik beradik dipukul. Guru tempat mereka meluahkan perasaan kasih sayang. Apabila anda menyayangi mereka, anda akan mereka jadikan tempat untuk menumpahkan kasih sayang. 


Cabaran kelima.

Pelajar yang amat berkemampuan yang datang ke sekolah untuk belajar tetapi terpaksa menghadapi ramai pelajar bermasalah. Pengajaran dan pembelajaran yang mengambil masa yang lama sebelum bermula. Sampah yang dibuang merata tempat setiap masa setiap keadaan. Kelas yang bising dengan pelajar yang berlari-lari berkejaran. Saya mencatat segala kesalahan pelajar nakal dan menghantar kepada guru disiplin supaya kelas terkawal dan terurus. Sekolah ialah tempat untuk manusia berubah menjadi manusia yang lebih bertamadun dan sempurna dari zaman ibu atau ayah mereka. Akhirnya saya berjaya mendidik mereka walaupun tidak sempurna sepenuhnya. Saya dapat masuk ke kelas, setiap kelas, mereka mengucapkan selamat dengan berdiri tegak, ketawa sekiranya saya membuat jenaka, diam apabila saya menerangkan sesuatu, membuat latihan yang diberikan di dalam kelas, bermain permainan yang dijalankan dengan kerjasama sesama rakan dan tidak tidur semasa ujian dijalankan melainkan mereka sakit. Mereka berjenaka dengan saya, mengucapkan salam apabila berjumpa di kawasan sekolah dan ada kalanya teruja melihat saya apabila mereka sudah naik tingkatan ke sekolah sesi pagi.


Tanpa rotan

Ya benar. Saya tidak menggunakan rotan seperti yang diarahkan pihak kementerian. Saya berjaya akhirnya! Saya merasakan mereka semua adalah anak-anak saya yang ketujuh belas. 

SAYA CINTAKAN PELAJAR SAYA. 

No comments:

Post a Comment