DULU SAYA JUGA SEORANG REMAJA.
Saya tujukan penulisan ini kepada gadis-gadis yang akan menempuh
alam wanita supaya memahami betapa besarnya ganjaran kita sebagai wanita yang
ditakdirkan Tuhan dapat menjalani kehidupan sebagai seorang isteri solehah.
Tahukah anda bahawa seorang anak
perempuan akan dijaga oleh abang dan bapanya serta ibunya dengan baik? Kemudian
kita dikawal supaya tidak bergaul dengan rakan-rakan yang bebas tanpa sekatan?
Kita diberikan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Kemudiannya
kita dikahwinkan dengan pasangan yang kita suka? Kita dijaga pula oleh seorang
lelaki yang baik digelar suami.
Semua
kehendak kita dipenuhi sebaik mungkin? Kita berhak meminta itu dan ini dan kita
menjadi permaisuri dihati mereka?
Maka dengan
sifat lemah lembut kita dan budi bahasa kita, tutur bicara yang sopan dan
perangai yang solehah, kita menjadi seorang permaisuri di dalam sebuah rumah
tangga bahagia.
Ini adalah
satu kisah magis, kisah bidadari dunia.
Makanya kita
diberikan oleh Allah, Tuhan Pencipta Alam untuk melahirkan anak-anak yang comel
dan sihat.
Kita pula
diberikan kelebihan untuk menyusukan anak-anak kita dan seorang suami yang
melayan kita dengan penuh kasih sayang. Alangkah indahnya dunia yang kita diami
kini.
Pertama sekali
ialah kita tidak ditugaskan untuk mencari nafkah dan menjaga keperluan kewangan
seseorang. Jika kita berduit sekalipun, semua duit atau harta yang kita ada
hanyalah untuk kita.
Sekiranya
kita murah memberi kepada sesiapa sahaja, pemberian kita dikira sebagai
sedekah. Alangkan beruntungnya kita sebagai seorang perempuan.
Kedua, kita
tidak ditugaskan untuk mengemas,
membasuh, menyusu atau apa sahaja kerja rumah tangga. Semua tugas tersebut
perlu disediakan oleh seorang lelaki terhadap isterinya.
Namun
sekiranya kita dengan rasa rela hati ingin melakukan semua tugasan tersebut
makanya ganjaran besar yang kita terima.
Boleh
dikatakan semua yang seorang wanita lakukan di muka bumi ini mendapat ganjaran
yang besar yang tidak terhitung jumlahnya.
Makanya
seorang wanita beriman dibenarkan memilih mana-mana pintu syurga yang mereka
ingin memasukinya.
Seorang
wanita solehah akan memasuki syurga lebih dahulu dari suaminya.
Alangkah
besarnya ganjaran yang akan kita terima hanya melakukan tugasan yang kita suka
di dunia dan mendapat ganjaran yang besar di akhirat.
Seseorang
isteri yang bersembahyang di rumah beriman bersama-sama anak-anak perempuannya,
dan suaminya bersembahyang berjemaah di masjid akan mendapat 27 + 27 ganjaran
pahala. Rahimnya Allah kepada kaum wanita.
Bagaimana
saya melalui alam perkahwinan saya?
Di sekolah,
saya diajar aurat, amalan baik dan buruk seorang manusia pada manusia yang
lain. Pembalasan di dunia dan di akhirat. Makanya saya ialah seorang manusia
yang mengikut apa-apa yang tertulis.(A person by a book)
Hidup ini
bagi saya amat senang dan bahagia. Ikut sahaja panduan yang tertulis dan
semuanya akan menjadi baik.
Kedua, saya
dilahirkan di dalam keluarga yang amat memahami kejadian manusia. Saya tidak
dipaksa untuk menjadi sesuatu yang diimpikan ibu atau bapa saya. Maksud saya,
saya dibenarkan untuk menentukan apa yang saya suka.
Ibu tidak
pernah mendesak saya untuk berjaya di dalam pelajaran. Saya dibesarkan dalam
proses yang normal, belajar dan bermain sebagai seorang kanak-kanak. Sebaik
sahaja saya bersedia untuk menjadi orang dewasa, maka ibu dan bapa saya
membenarkan ianya berlaku.
ZAMAN KANAK-KANAK
Zaman
kanak-kanak saya seingat saya tidak ada apa-apa masalah yang memberikan
gambaran yang tidak baik. Saya mempunyai adik-beradik yang ramai, dua lelaki
dan dua perempuan. Saya gemar bermain-main dengan adik beradik saya. Kami akan
ke mana sahaja bersama-sama. Ke padang permainan, ke klinik atau ke sungai
untuk mandi manda atau memancing ikan bersama bapa saudara.
Saya ditugaskan
untuk menjaga adik-adik saya apabila ibu dan ayah saya keluar ke pekan. Saya
amat sayangkan mereka.
Zaman
kanak-kanak saya berlalu dengan baik tanpa tekanan untuk terus tetap belajar
sehabis waktu persekolahan.
Ibu saya
seorang suri rumah yang gemar membaca. Seingat saya, saya membaca majalah
WANITA sewaktu saya masih di sekolah rendah. Majalah tersebut penuh dengan
panduan untuk menjadi seorang wanita tanpa ruangan iklan yang banyak. Sehingga
hari ini saya teringat membaca majalah tersebut tentang alam perkahwinan.
ZAMAN REMAJA.
Sebagai seorang anak.
Ibu saya seorang yang penyabar,
sentiasa memberikan panduan berguna yang anak-anak lain sebut berleter.
Saya akan
sabar mendengar semua leteran ibu dan
memastikan semuanya berjalan dengan baik. Maksud saya, sekiranya ibu saya
berleter tenang sesuatu perkara, saya akan cuba untuk memenuhi kehendak ibu
saya untuk memastikan ibu saya berpuas hati dan tidak akan berleter perkara
yang sama di lain masa.
Ibu saya
pentingkan soal kekemasan rumah tangga. Makanya saya akan tetap pastikan setiap
hari di awal remaja saya untuk sentiasa kemas rumah. Apabila saya mengemas
katil, saya pastikan adik-adik kecil saya tidak akan duduk atau tidur di atas
katil sehingga menjelang malam.
Saya akan
menyapu rumah dan pastikan rumah sentiasa bersih.
Saya juga
akan membasuh pakaian dan pastikan semua pakaian kotor dibasuh. Tabiat semula
jadi saya ialah saya akan rasa bahagia jika semua ampaian penuh dengan kain.
Sekiranya saya dapati masih ada ruang kosong, saya akan masuk ke rumah dan
mengutip kain-kain yang tergantung lalu membasuh dan menjemur kain sehingga
ampaian penuh.
Saya juga
gemar menyusun kain yang dijemur mengikut saiz dan jenis. Makanya ampaian akan
nampak kemas dan tersusun.
Sekiranya
semua kerja membasuh dan mengemas siap(kain kotor tidak banyak), saya akan
pergi ke rumah nenek saya yang jaraknya 200 meter. Saya akan makan nasi lebihan
semalam. Kemudian saya akan membasuh semua pinggan yang ada di lantaian(seperti
sink pada masa kini). Lantaian sink adalah dari papan papan yang dipaku jarang
setinggi pinggang kita. Semua baldi air, periuk dan pinggan disusun di sudut
lantaian tersebut.
Saya akan
memenuhkan baldi dengan air dari perigi yang berada berhampiran sebelum pulang
ke rumah. Saya tidak tahu mengapa saya lakukan khidmat kepada nenek saya. Saya
tidak ingat siapa yang suruh atau apa yang menyebabkan saya rajin membasuh
pinggan dan mengisi baldi dengan air.
Apa yang
saya tahu adalah saya suka berkhidmat kepada orang yang saya sayangi. Mungkin
guru di sekolah yang mengajar saya, atau mungkin ibu saya.
Persoalan Cinta.
Kedua saya
akan patuh kepada ajaran agama. Salah satu ajaran yang saya patuh ialah tentang
pergaulan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Makanya saya akan pastikan
saya hanya akan berhubung, bercakap, bercinta sebaik sahaja seseorang lelaki
itu suami saya. Maksudnya saya akan bercinta selepas berkahwin.
Setiap
manusia akan tentukan apa yang mereka hendak dan akan mencari bukti atau cerita
untuk meneguhkan apa-apa pegangan atau kepercayaan yang mereka telah tetapkan.
Makanya saya
menetapkan untuk bercinta selepas berkahwin dan semua cerita cinta yang saya
dengar, saya akan scan tentang cinta selepas berkahwin. Saya akan menonton
filem cinta dan fokuskan cerita yang mengisahkan seseorang yang berbahagia
dengan suami yang dikenali selepas berkahwin.
Semua hadits
atau ayat-ayat Al-Quran juga saya akan fokuskan fikiran dan minda saya kepada
ayat-ayat atau pesanan tentang jodoh di tangan Tuhan. Seseorang yang baik ialah
untuk orang yang baik dan seseorang yang tidak baik ialah untuk seseorang yang
tidak baik.
Bagi saya
inilah kehidupan yang saya maksudkan. Kehidupan yang dilalui tanpa onak dan
duri.
Sememangnya
saya bernasib baik kerana dilahirkan dalam keluarga yang ‘aman damai’. Tidak
ada pergaduhan atau pertengkaran. Saya juga tidak menghiraukan sesuatu yang
saya rasa tidak perlu saya risaukan. Kehidupan saya bertumpu kepada ‘sentiasa
berbuat baik dan balasan baik kita akan terima’.
ZAMAN REMAJA
Nikmati zaman remaja anda. Anda tidak perlu fikir masalah
orang-orang dewasa seperti membayar bil air, bil elektrik, nak beli rumah di
mana atau masalah lain.
Apa yang anda perlu fikirkan adalah
pembelajaran anda di sekolah. Sekiranya anda sering gagal di dalam peperiksaan
dan tidak pernah lulus sejak anda di bangku sekolah rendah, jangan salahkan
diri anda. Bersyukur anda masih diberi mata yang dapat melihat, telinga untuk
mendengar, lidah untuk makan makanan yang sedap-sedap, tangan untuk memegang
dan kaki untuk berjalan.
Fikirkan mangsa perang yang hilang
ahli keluarga, rumah dan harta benda. Bersyukur atas apa jua yang anda ada.
Saya tidak pernah fikirkan apa-apa
semasa saya kecil kerana saya bertuah mendapat ibu bapa yang tidak pernah
bertengkar. Memang mereka ada konflik rumah tangga yang menyebabkan mereka
bercerai dikala mendapat dua cucu. Namun mereka tidak pernah menunjukkan
keadaan yang dapat memberi kesan yang tidak baik kepada saya.
Jika anda membaca novel yang saya
tulis, “Dilema Melayu: Pencarian dan Perjuangan.” Anda akan faham keadaan ibu
saya yang tabah menghadapi ujian hidup yang amat berat, namun demi anak-anak
tersayang, beliau tabah menghadapinya. Dan disebabkan doa orang-orang yang
teraniaya, semua anak-anaknya berjaya, atas doanya...berjaya di dalam
pelajaran.
Saya di besarkan di dalam keluarga
yang sibuk. Seingat saya, saya amat bahagia sewaktu kecil. Ibu dan bapa
membesarkan saya dengan penuh kasih sayang, ada binatang kesayangan,
arnab(walaupun mati selepas beberapa waktu), bermain bersama adik beradik,
membesar dan belajar seperti kanak-kanak lain.
Kehidupan kanak-kanak saya tanpa
tekanan dari ibu bapa.
Kehidupan remaja juga tiada tekanan.
Saya memilih untuk menolong ibu saya berniaga sewaktu umur saya meningkat 13
tahun. Pelajaran menjadi kehidupan nombor dua saya.
Guru agama mengajar saya “Syurga di
bawah tapak kaki ibu.” Maka saya membantu ibu saya dalam bentuk tenaga. Sebaik
saya belajar ke Amerika dan mendapat pendapatan(Biasiswa) saya kongsi dengan
ibu saya iaitu 1/3 dari wang saya, saya berikan kepada ibu saya.
Sebaik berkahwin pada usia 19 tahun
di Amerika, pada tahun pertama pengajian saya, saya berhenti memberi wang
kepada ibu kerana seorang wanita yang telah berkahwin “Jika dibenarkan
seseorang menyembah makhluk yang lain, maka akan disuruh isteri menyembah
suaminya.”
Maka ketaatan dan keredhoan saya
pada suami, dan keredhoan suami pada ibunya.
Maka kalau
di catat dalam bahasa saya taat suami
dan suami taat ibunya.
Saya bertanyakan ibu selepas
beberapa puluh tahun berkahwin, mengapa ibu saya membenarkan saya berkahwin
sebaik sahaja saya meminta kebenarannya melalui telefon, ibu saya menjawab
”Jika seseorang kanak-kanak umur 9
tahun dipaksa untuk berkahwin, mereka akan menolak dan menangis kerana tidak
mahu. Tetapi jika seorang anak yang dewasa meminta untuk berkahwin, bermakna
mereka sudah bersedia.”
Itu jawapan dari ibu saya.
BAB 1
JADILAH ANAK
YANG TAAT.
Jadilah anak yang taat pada perintah agama dan ibu bapa. Ibu
bapa anda adalah jalan anda untuk mendapat syurga dunia dan syurga akhirat.
Syurga dunia adalah duit yang
banyak, rumah yang besar, kereta yang selesa, kesihatan, pasangan yang baik dan anak-anak yang
membahagiakan.
Duit boleh di dapati dengan berbagai
cara yang halal. Berniaga atau bekerja sebagai pekerja atau meminta.
Yang pasti saya memilih untuk tidak
meminta. Tuhan menjadikan manusia ada yang suka meminta. Namun saya memilih
untuk menjadi orang yang lebih mulia, tangan yang di atas lebih mulia dari
tangan yang di bawah.
Kita dibolehkan untuk menjadi
peminta sebab orang yang meminta ini mungkin Tuhan tidak memberinya peluang
untuk bekerja kerana ibu bapa sakit, dirinya sakit, tidak berkebolehan, mangsa
aniaya atau berbagai sebab yang kita tidak tahu.
Memandangkan saya diberi peluang
untuk belajar, maka saya belajar. Ramai yang tidak diberi peluang untuk belajar
kerana ketiadaan ibu bapa, kemiskinan atau sebab-sebab yang kita juga tidak
tahu.
Makanya saya rasa bertuah kerana
diberi peluang untuk ke sekolah.
Saya dilahirkan di dalam keluarga
yang mempunyai bapa yang gemar menghabiskan masa berjalan-jalan dengan
rakan-rakan. Namun saya tidak pernah menyedarinya. Apabila dewasa dan mempunyai
keluarga barulah saya mengetahui perkara sebenar dari ibu saya. Itupun sebab
ibu dan bapa saya bercerai. Maka ibu mahu memberikan penerangan kenapa
perceraian berlaku.
Bapa saya jarang berada di rumah.
Bila saya tanya beliau menjawab “Pengaruh bapa mertua, pengaruh rakan-rakan...”
Jika anda membaca buku Abdullah
Munsyi yang menceritakan sejarah asal orang-orang Kelantan yang suka bermain
wau, berlaga ayam, bermain dam, berpolitik di kedai kopi, bertanding burung
paling bagus, bertanding suara cengkerik paling merdu, mendengar ceramah agama
di masjid dan surau, berpeleseran di luar kota, dan aktiviti luar yang lain
anda akan faham. Aktiviti luar selain bersama anak-anak dan isteri di rumah
sudah menjadi satu budaya, darah daging mereka.
Saya tidak bermaksud seratus
peratus, namun ianya budaya. Anda dijemput datang ke Kelantan dan tinggal
selama satu atau dua minggu dan anda akan dapati tidak ramai peniaga lelaki di
pasar Khadijah atau tidak ramai kaum perempuan di luar rumah berpeleseran.
Bandingkan suasana di Kedah. Ianya
berlainan sama sekali.
Atau di negeri lainnya.
Saya akan membantu ibu di kedai
runcit sebaik pulang dari sekolah. Saya seorang remaja, saya juga mahu
berpasangan, namun saya tahu Tuhan tidak benarkan berpasangan sebelum
berkahwin. Makanya saya tunggu saya akan bercinta selepas saya berkahwin.
Makanya saya menolak sama sekali untuk rapat atau cuba-cuba rapat dengan rakan-rakan
lelaki.
Jadinya saya pilih untuk berkhidmat
di rumah, menolong ibu saya. Satu aktiviti yang berfaedah dan disukai Tuhan.
Saya ambil peluang menolong ibu saya di rumah kerana ungkapan “Syurga di bawah
tapak kaki ibu.” Saya mahukan syurga dunia, maka saya pilih untuk berkhidmat
kepada ibu saya sepenuhnya.
Sejak bersekolah rendah kita sudah melihat pasangan suami
isteri yang bahagia melalui ibu bapa kita, guru-guru, ibu bapa rakan-rakan
kita, cerita dari filem yang kita lihat dan bahan bacaan yang kita baca.
Semuanya memberikan maklumat kepada
kita bagaimana kehidupan pasangan yang bahagia.
Agama juga mengatakan, orang yang
baik adalah untuk orang yang baik dan sebaliknya.
Maka saya dan anda juga faham, jika
kita hendakkan pasangan yang baik, maka kita perlu berbuat baik. Tidak ada cara
lain lagi yang dapat kita lalui. Maka dengan ajaran ini saya yakin pasangan
saya adalah cermin diri saya, amalan pasangan saya adalah cermin amalan saya.
Bagaimana saya menghabiskan masa
remaja saya?
Saya tidak tahu keadaan anda sebagai
seorang remaja, namun anda boleh jadikan apa yang saya lalui sebagai panduan
berguna.
Kini umur saya sudah 51 tahun,
mempunyai 13 anak-anak yang baik dan sempurna dan 2 orang cucu.
Kisah cinta saya amat mengkagumkan
saya. Maklum saya bercinta selepas berkahwin. Saya akan ceritakan pengalaman
saya di rumah sebelum saya menyambung pelajaran ke luar negara dan berkahwin di
sana dengan restu kedua ibu bapa saya.
BAB 2
MEMBANTU IBU
DI RUMAH.
Saya mula membantu ibu berniaga
waktu saya berumur 13 tahun. Saya mula memasak untuk keluarga sepenuhnya pada
usia 14 tahun.
Sebaik pulang dari sekolah yang
jauhnya 10 minit perjalanan, saya terus ke dapur untuk masak nasi. Mula-mula
saya nyalakan dapur arang untuk masak air minuman. Apabila air masak, arang
yang membara saya gunakan untuk membakar ikan tawar atau ikan bakar kunyit.
Nasi saya tanak dahulu sebelum
menyiang ikan. Kemudian saya masak ikan singgang(ikan rebus berempah bawang
putih, lada hitam, serai di ketuk, ketulan kunyit, asam gelugur garam dan perisa tambahan yang
dibenarkan).
Saya menghidangkan ulam timun atau
kobis mentah atau kacang panjang atau daun kangkung mentah.
Hidangan di lengkapkan dengan budu
dimasukkan asam limau dan lada.
Selepas selesai menghidang, saya
akan terus menjaga kedai manakala ibu dan ayah saya menikmati makanan tengahari
yang saya hidang. Selesai mereka makan, giliran saya untuk makan.
Saya akan mengemas dapur lalu terus
ke sekolah, masuk ke library dan membaca buku rujukan. Adakalanya jika saya
dapati buku di library baik untuk rujukan masa lapang saya di rumah, saya akan
meminjam buku tersebut. Ada beberapa pelajar yang berebut untuk meminjam buku
rujukan sains yang tebal.
Hobi saya di waktu lapang, di kala
pelanggan kurang, waktu 3 hingga 4 petang, saya akan membuat latihan matematik
dari permulaan muka surat sehingga ke depan. Tidak ada yang saya tinggalkan
walaupun soalan di dalam buku matematik senang. Semuanya saya buat sendiri
untuk saya lebih mahir dan faham.
Pada pukul 4 petang saya akan mula
membasuh pakaian keluarga untuk dijemur pada keesokan pagi sebelum saya ke
sekolah. Saya akan mengambil air dari perigi yang ada di dalam rumah yang
dikongsi dengan jiran sebelah.
Dinding rumah kedai yang kami duduki
merentangi bahagian tengah perigi. Inilah sumber air utama kami untuk minum dan
mencuci.
Pada waktu malam, saya akan mengemas
rumah sebelum tidur dan kadang-kadang membuat ulangkaji pelajaran. Saya tidur
pada pukul 9 malam, waktu tidur yang ditetapkan oleh ibu saya.
Saya akan sediakan sarapan untuk
keluarga, sering nasi goreng, menu utama keluarga. Kami amat gemar makan nasi
pada waktu pagi. Saya akan membawa bekal nasi goreng untuk jimat wang belanja.
Kain sekolah saya sering basah di
bahagian bawah kerana saya menjemur kain yang perlu diperah terlebih dahulu.
Tidak ada mesin membasuh pada waktu itu.
Inilah rutin harian saya. Pada musim
sukan, saya akan dipanggil guru untuk wakil rumah. Maklum saya didapati berlari
laju tetapi tidak dapat menandingi pelajar yang mewakili sekolah.
Saya amat gembira dengan kehidupan
saya, membantu ibu adalah keutamaan saya disamping belajar dan melakukan
aktiviti sekolah.
Saya mendapat keputusan yang baik
dalam peperiksaan PMR yang dipanggil SRP yang kini dipanggil PT3.
Saya memohon pada ibu untuk
menyambung pelajaran ke asrama kerana saya dapati berniaga tidak mengembirakan
saya.
Saya kata tidak mengembirakan kerana
saya akan dimarah jika makan choklat. Maklum remaja, siapa yang tidak suka
choklat.
Kedua
ibu saya tidak mengupah saya, maksudnya saya tidak tahu berniaga amat
menguntungkan.
Ketiga, saya sering mendengar ibu
saya cakap pada rakan-rakannya, jika anak-anaknya tidak lulus periksa, maka
mereka akan jaga kedai. Saya anggap ini sebagai hukuman. Maka saya tekad untuk
belajar dan berjaya di dalam pelajaran. Saya hanya faham pada waktu itu bahawa
berniaga tidak dapat wang dan bekerja makan gaji akan dapat wang. Entahlah,
saya membuat andaian sendiri.
Ibu juga tidak galakkan saya
berniaga.
Setiap kali saya makan choklat atau
biskut, saya akan dimarahi. Tiada upah selama saya bekerja menolong ibu saya.
Saya andaikan berniaga tidak memberikan pulangan atau keuntungan yang banyak.
Ibu saya berniaga siang dan malam,
tetapi ayah saya bekerja dapat berehat dan tidur di kedai. Makan angin bila
cuti sekolah.
Sebaik saya masuk ke sekolah separuh
asrama di SMK Sultan Sulaiman ke tingkatan empat di Kuala Terengganu, lebih
kurang 70 kilometer dari rumah saya di Alor Lintang Besut, ibu saya menjadi
egen aiskrim Magnolia bagi daerah Besut. Ibu saya mempunyai 4 penjaja aiskrim
yang menjaja dengan basikal ke serata Alor Lintang.
Namun kedai terpaksa di tutup dua tahun kemudian. Ibu saya
memberitahu selepas itu yang ayah saya sering menggunakan kereta untuk
berjalan-jalan berhari-hari, satu-satunya kenderaan yang ibu saya gunakan untuk
menghantar ais kerim kepada pelanggan.
Sebaik sahaja saya selesai ke tingkatan 5, saya belajar di
Matrik selama sebulan sebelum menyambung pelajaran ke Amerika.
Tahukah anda bahawa saya membasuh kain pada waktu petang
tanpa ada mesin basuh. Ini bererti saya membasuh kain dengan menggunakan
tangan. Air juga tidak ada air paip. Kami sekeluarga menggunakan air dari
telaga atau perigi untuk membasuh dan sebagai air minuman.
Kehidupan remaja saya amat mengembirakan saya. Tidak ada
kesedihan yang saya rasai kerana saya seronok melakukan kerja harian dan ke
sekolah.
Ibu membelikan apa sahaja yang saya inginkan. Saya dibelikan
kasut roda untuk bermain-main di dalam kedai sambil berjual beli. Saya juga
berpeluang belajar bahasa Inggeris secara pos dari Singapura.
Pada hari minggu, ibu dan bapa serta keluarga pergi melawat
saudara atau berkelah. Saya merasa amat gembira walaupun ayah kandung saya
sering memulakan tabiat lama beliau untuk bercanda di negara jiran. Ibu saya cekal
dan tidak pernah meluahkan segala kepayahan, kesedihan dan kehinaan yang
dirasakannya dari pengetahuan saya dan adik beradik yang lain.
Kehidupan saya normal tanpa apa-apa gangguan dari goyahnya
sifat kebanyakan kaum bapa di pantai timur yang termasyur dengan sifat
kelelakian mereka dan sifat kejantanan mereka untuk tidak menolak setiap ajakan
rakan-rakan untuk berpeleseran ke hampir seluruh tanahair.
No comments:
Post a Comment