Friday, 1 January 2016

GURU SEBAGAI...

GURU SEBAGAI ...
            Pengalaman saya, ada satu kelas yang mempunyai pelajar yang amat nakal, menyebabkan guru tertekan untuk mengajar pada tahun ini tahun 2015. Seorang guru pengsan di kelas(ada penyakit) dan seorang guru mendapat penyakit kulit yang kritikal dan terpaksa ambil cuti selama dua minggu.
            Memandangkan saya tidak mengajar kelas tersebut(tingkatan 5A1) yang dah ramai dibuang sekolah, saya datang awal, masuk ke kelas dan mula memberikan mereka motivasi. Saya mengajar sesi petang. Saya dah dengar guru-guru di bilik guru yang menunjukkan rasa kecewa, geram dan hampa pada pelajar di kelas tersebut. Mereka mengeluh kerana tidak dapat mengajar dengan baik.
           Ternyata tindakan yang saya lakukan amat berkesan. Masalah mereka kurang sopan dengan guru berkurang. Apa yang saya cakapkan selama kurang satu jam? Sekiranya anda baca penulisan saya semuanya, anda akan faham dengan mata hati anda.
            PERTAMA, hargai perasaan mereka sebagai manusia yang mahu dihargai, dihormati, inginkan kejayaan dan mahu berbakti kepada masyarakat seperti pelajar-pelajar lain.
            KeDUA, kanak-kanak semuanya dilahirkan unik dan mempunyai kepakaran, kepandaian, kebijaksanaan yang diciptakan Tuhan sebaik-baik perciptaan.
            KeTIGA, nyatakan bagaimana seseorang dapat mencapai potensi diri ke tahap semaksima mungkin iaitu dengan menghormati ibu bapa, guru-guru dan semua manusia berilmu dan yang lebih tua dari mereka.
            KeEMPAT, nyatakan semua manusia akan dapat berdasarkan apa yang mereka percaya ke atas diri mereka. Kamu adalah apa yang kamu sangkakan.
            KeLIMA, sentiasa berbuat baik tidak kira di mana, dengan siapa, bagaimana dan minta pembalasan dari Tuhan yang Maha Agung, yang Maha Memberi yang khazanahnya tidak berkurang sedikitpun jika kita diberikan dunia dan seisinya.
           

            PERTAMA, hargai perasaan mereka sebagai manusia yang mahu dihargai, dihormati, inginkan kejayaan dan mahu berbakti kepada masyarakat seperti pelajar-pelajar lain.
            “Kamu semua pelajar yang amat baik. Kamu tetap datang ke sekolah walaupun kamu tahu kamu tidak mungkin akan mendapat A dalam matapelajaran yang kamu belajar jika tidakpun gagal. Kamu tetap datang ke sekolah walaupun ramai guru-guru kamu tidak yakin akan kebolehan kamu dan mungkin kamu dapati guru-guru kamu mencemuh kamu.
            Namun Tuhan yang Maha Kuasa menciptakan kamu bersebab. Kamu diciptakan Tuhan untuk berjaya. Kamu diciptakan untuk memberi kebaikan kepada seluruh alam walaupun manusia lain tidak nampak dan tidak tahu kerana kurangnya ilmu mereka. Tahukah kamu bahawa jutawan dunia terdiri dari ciptaan Tuhan seperti kamu?
            Azem Prenji jutawan Muslim India yang berusaha memajukan perniagaan keluarganya tanpa berpeluang menghabiskan pelajarannya dan kini menolong rakyat India mendapat pekerjaan.
            Syeikh Bukhari jutawan Malaysia yang kaya raya, tidak menghabiskan pelajaran kerana terpaksa menolong keluarga berniaga dan kini membantu orang-orang miskin untuk memperolehi ilmu.
            Syeikh Al Bukhari menjadi kaya walaupun tidak berpeluang menghabiskan pelajaran pada peringkat awal. Tapi kamu istimewa kerana kamu berpeluang untuk datang ke sekolah dan belajar sebanyak mungkin sebagai bekal untuk kamu. Kamu diberi sedikit kelebihan maka kamu pasti akan menjadi lebih hebat dari beliau.
           
            KeDUA, kanak-kanak semuanya dilahirkan unik dan mempunyai kepakaran, kepandaian, kebijaksanaan yang diciptakan Tuhan sebaik-baik perciptaan.
            “Kamu diciptakan Tuhan Yang Maha Esa, Maka Tuhan dan kamu sahaja yang mengetahui apa kelebihan yang kamu ada. Ibu bapa kamu tidak tahu, saya tidak tahu dan guru-guru malah semua manusia lainnya tidak tahu. Maka ikutlah kata hati kamu berdasarkan anugerah istmewa yang Allah ciptakan untuk kamu, iaitu otak yang bijak.”
            Saya ulang perkataan dibawah di dalam hampir semua penerangan saya kerana kita alpa betapa agungnya ciptaan Tuhan yang Maha Bijaksana.
            “Sebagai guru, saya boleh mengajar kamu membuat karangan tetapi saya tidak berupaya untuk mengajar kamu bagaimana untuk mengarang novel yang hebat.
            Sebagai guru, saya boleh mengajar kamu mengira tetapi saya tidak boleh mengajar kamu cara untuk menjadi saintis terhebat di dunia.
            Guru boleh mengajar kamu ilmu perniagaan tetapi tidak boleh mengajar kamu untuk berniaga sehingga menjadi seorang jutawan dunia.
            Seorang guru boleh mengajar kamu untuk mencipta lagu tetapi tidak boleh mengajar kamu mencipta lagu yang sentiasa enak di dengar sepanjang zaman. Cuba fikirkan lagu-lagu yang kamu dengar, yang seronok di dengari dan berbagai jenis setiap masa. Bagaimana mereka dapat ilham.
            Semuanya adalah anugerah Allah.
            Saya tidak cipta kamu, tidak guru-guru di sekolah ini dan tidak juga ibu bapa kamu. Maka jangan percaya jika mereka katakan kamu gagal, tidak pandai, lemah atau perkataan lain yang tidak benar tentang diri kamu.
            Jangan salahkan mereka yang tidak tahu. Kamu dan Allah sahaja yang tahu siapa diri kamu yang sebenarnya. Jika kamu tidak pasti apa kelebihan kamu, pergi ke library dan baca kisah-kisah orang-orang yang hebat yang mencipta kereta, kapal terbang, walkie talkie, elektrik, komputer, face book, dan formula matematik.
            Mereka juga hidup di dalam dunia seperti kamu, dicemuh, dikatakan tidak pandai dan di cerca.
            Van Goh dikatakan tidak pandai melukis, pelajar yang lemah oleh gurunya namun hasil ciptaannya bernilai ratusan juta ringgit kini.
            Bethovan dikatakan seorang pelajar lemah yang sukar mengikut arahan guru muziknya namun sehingga kini lagu ciptaannya tidak jemu dimakan zaman. Sehingga kini lagu beliau disukai semua lapisan masyarakat. Kisahnya secara tidak sengaja, beliau diberi peluang mempersembahkan lagunya di hadapan penonton. Sebaik mendengar lagu ciptaannya, hampir semua penonton gembira kerana penontonnya kebetulan dari kalangan generasi baru!
            Malconi, pencipta walkie talkie, tidak mendapat sokongan ayahnya malah semua peralatan ujikajinya dibuang sehingga ibunya akan memaklumkan kepada beliau sebaik bapanya pulang ke rumah. Ayahnya mahukan anaknya menjadi seorang general perang, satu kerjaya terhormat pada masa itu, sama seperti kerjaya doktor dan peguam pada masa kini. Ayahnya memiliki ladang anggur yang luas. Malah semua pensyarah dan ilmuan yang beliau temui untuk bertanyakan tentang ciptaannya, semuanya mengatakan mustahil dan tidak dapat dihasilkan. Beliau dengan tekun mencari maklumat dari semua bahan bacaan di perpustakaan bersendirian. Walaupun semua manusia tidak percaya atas apa yang beliau yakin, namun beliau tidak pernah berputus asa. Siapa yang memberi Ilham kepada beliau jika tidak Tuhan yang Maha Esa?
            Hanya kamu yang mengetahui keupayaan, kehebatan dan kebolehan kamu. Jadi kenapa kamu mahu percaya kepada apa yang dikatakan masyarakat tentang kamu? Kenapa kamu masih kecewa dan berputus asa terhadap semua kata-kata yang tidak benar terhadap kamu?
            Hanya kamu dan Tuhan sahaja yang tahu apa keistimewaan dan kebolehan luar biasa kamu kerana Allah yang jadikan kamu. Yakin sepenuhnya anugerah dan keistimewaan yang kamu ada, jangan hiraukan masyarakat sekeliling yang tidak tahu apa-apa. Semua manusia lemah dan tidak bijak dalam semua bidang melainkan Tuhan memberikan mereka ilmu pengetahuan.
            Jika semua air di lautan dijadikan dakwat dan pokok-pokok dijadikan pena untuk menulis ilmu Tuhan, namun masih tidak mencukupi untuk menulis kesemuanya.
            Yakini kebolehan kamu dan majulah ke depan. Kamu semua ialah anugerah Tuhan yang unik yang diciptakan Tuhan bersebab.”

            KeTIGA, nyatakan bagaimana seseorang dapat mencapai potensi diri ke tahap semaksima mungkin iaitu dengan menghormati ibu bapa, guru-guru dan semua manusia berilmu dan yang lebih tua dari mereka.
            Untuk berjaya, Tuhan yang Maha Esa meletakkan hukum atas semua tindakan kamu. Sungguh mudah untuk berjaya iaitu kamu hormat terhadap ibu bapa kamu, berbakti kepada mereka tanpa mengira masa dan tenaga. Dahului permintaan mereka tanpa mengira kehendak kamu kerana banyak contoh yang nyata tentang kisah semua orang-orang yang hebat.
            Apa yang kamu hendak di penghujung jalan yang kamu dan semua orang lalui, iaitu wang yang banyak, ketenangan hidup, kesihatan yang baik, keluarga yang bahagia, masa yang berkat dan peluang untuk mengembirakan orang yang kita sayangi.
            Ramai pelajar yang bertungkus lumus belajar siang dan malam untuk menjadi doktor yang hebat atau peguam yang berkalibar. Di titik akhirnya ialah untuk memperolehi wang yang banyak untuk tempat tinggal, kenderaan, keluarga, kesihatan dan kegembiraan.
            Azem Prenji, jutawan India yang paling kaya di India yang menetap di India. Beliau terus berhenti belajar di luar negara dan pulang ke India mengikut kehendak ibunya untuk mengurus perniagaan bapanya yang baru meninggal dunia. Hanya tinggal enam bulan sahaja lagi untuk beliau habiskan pelajarannya di Universiti luar negara namun beliau seorang anak yang taat kepada ibunya. Kini dunia tunduk kepadanya dan beliau dianugerah berbagai anugerah kedoktoran...ganjaran yang diberikan Tuhan yang Maha Berkuasa.
            Jutawan Malaysia, Syeikh Al Bukhari, di awal kerjayanya mementingkan kebahagiaan ibunya dengan membina sebuah rumah yang indah dimana beliau sendiri menetap di atas rumah kedai yang disewa. Tuhan memberikan anak yang berbakti kepada ibunya dengan harta dunia yang melimpah ruah.
            Apakah ganjaran ke atas makhluk Tuhan yang tahu berbakti kepada orang yang berbuat baik kepada mereka. Siapakah yang lebih baktinya kepada kamu selama ini  selain dari ibu kamu, yang bersusah payah mengandungkan kamu? Kamu membesar di dalam perut ibu kamu selama sembilan bulanpun sudah tidak dapat kamu balas walaupun dunia dan seisinya kamu berikan kepadanya. Betapa seorang ibu terpaksa membawa kamu ke sana ke sini dengan tidur yang sukar. Kamu mengambil semua zat makanan untuk keperluan kamu dari ibu kamu selama sembilan bulan. Ibu kamu tidak pernah meminta apa-apa dari kamu.
            Inikan pula ada dikalangan kamu yang mempunyai ibu yang menyusukan kamu, yang membesarkan kamu, yang mendidik kamu dan sanggup berhabis wang untuk memastikan kamu dapat datang ke sekolah hari ini.
            Tahukah kamu apa yang ibu dan bapa kamu sedang buat sekarang ini. Mereka sedang bekerja, mencari wang untuk memastikan kamu dapat duit sekolah, dapat belajar dan dapat ilmu hanya untuk kebaikan diri kamu.
            Tidak ada ibu di dunia yang meminta balasan atas segala penat lelah mereka melainkan mereka mahukan kebahagiaan buat kamu. Mereka marah kamupun hanya kerana mereka ingin lihat kamu senang. Tidak ada yang kata ‘Belajar bersungguh-sungguh untuk besarkan rumah mak ni’, sebaliknya mereka kata ‘Belajarlah bersungguh-sungguh supaya hidup kamu lebih senang, tidak susah seperti apa yang mak rasai sekarang ini.’
            Rakan yang kamu sanjung dan hargai hanya kerana pertolongan yang sedikit maka siapa patut kamu hargai dan sanjungi lebih selain dari ibu dan bapa kamu?
            Tuhan berkata Syurga di bawah tapak kaki ibu. Apakah syurga kita hanya di akhirat? Jadikan dunia yang kita tinggal sekarang yang hanya sementara sebagai syurga buat kita sebelum kita menduduki syurga akhirat yang kekal selamanya. Berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita maka syurga dunia dan akhirat menjadi milik kita.
            Sentiasa berbakti kepada mereka. Saya dahulunya seorang pelajar yang lemah. Pada usia  9 tahun saya masih tidak pandai membaca jam. Jika ada orang          tanya pukul berapa saya akan kata jarum pendek pukul sekian dan jarum panjang pukul sekian. Namun saya berkhidmat penuh pada ibu saya kerana Tuhan telah nyatakan Syurga di bawah tapak kaki ibu. Guru agama saya yang katakan demikian dan perkataan itulah yang sentiasa saya pegang hingga kini. Makanya dari tidak pandai, saya dianugerahi kepandaian kerana saya memohon kepandaian dari Tuhan. Saya tidak pernah berputus asa mencari ilmu. Saya dapat apa yang saya mohon hanya kerana saya tidak pernah berhenti berbakti kepada ibu saya. Baca kisah saya di dalam tulisan saya
            “DULU SAYA JUGA SEORANG REMAJA.
            Kamu lihat guru kamu sakit kerana risaukan masa hadapan kamu. Kalau saya, saya tidak kisah keputusan peperiksaan kamu. Berapa A kamu dapat, gagal ke lulus ke. Sebab tu saya sihat dan sentiasa muda. Kasihan pada cikgu yang dahlah sakit, bertambah sakit memikirkan masa hadapan kamu. Mereka teramat risaukan keadaan kamu, bagaimana kamu nanti, nak kerja apa, senang ke susah nak dapat wang. Sepatutnya mereka bersuka ria menikmati gaji bulanan mereka, tetapi sebaliknya yang berlaku, kini cikgu kamu terlantar di hospital.”

            KeEMPAT, nyatakan semua manusia akan dapat berdasarkan apa yang mereka percaya ke atas diri mereka. Kamu adalah apa yang kamu sangkakan.
            “Jika kamu sangka kamu berjaya, maka kamu akan berjaya. Ini sebagai doa. Otak kita bertindak terhadap semua yang ada di dalam fikiran kita.
            Ilmuan barat yang tidak percaya ujudnya Tuhan juga yakin dengan ungkapan ini, ‘You are what you think you are.’
            Orang yang yakin dirinya gagal, maka mereka akan bertindak sepertimana orang gagal bertindak. Mereka percaya dengan kata-kata orang terhadap mereka. Orang kata kamu lemah, maka kamu iakan segala kata-kata dan  lontaran orang terhadap kamu. Kamu berjalan sepertimana orang gagal berjalan, lemah dan tidak bermaya. Kamu berbuat sesuatu seperti apa yang orang gagal akan buat iaitu ‘memusnahkan diri sendiri.’ ...ambil dadah, merempit, membuang masa berpeleseran, mencemuh diri dan berbagai perkara negatif dan tidak baik.
            Jika kamu yakin kamu akan berjaya maka kamu akan bertindak seperti orang berjaya. Kamu berjalan dengan penuh yakin, kamu bertindak sebagaimana orang-orang yang berjaya. Sentiasa berusaha dan bangun setiap kali kamu jatuh.
            Otak kita bertindak atas semua maklumat yang kita dapat melalui pendengaran, percakapan, penglihatan dan pembacaan. Dan yang utama atas apa yang kita percaya.
            Kita rasa gembira bila kita menyanyi, namun ada rakan kamu kata sebaliknya. Mereka rasa gembira bila mereka baca AlQuran.
            Mungkin ada orang kata masakan Melayu sedap, namun orang Barat kata tidak. Mereka kata makan roti lagi sedap.
            Kita kata handsome jika pakai seluar jeans, namun ada gadis yang kata segak dan bergaya jika lelaki mereka berjubah dan berserban.
            Jika kita sentiasa dengar perkataan tidak baik, maka otak akan bertindak ke atas apa yang biasa didengari.
            Sebagai contoh seseorang berkata ‘Bodoh pada kawannya di kantin, di kelas, di jalan, di rumah, di pasar, di dewan. Rakannya berlainan setiap masa. Kawannya hanya dengar sekali perkataan tidak baik itu tetapi orang tersebut mendengar berkali-kali. Kemudian dia terlanggar  batu, dia kata Bodoh lagi. Tapi bukan pada dirinya tetapi pada batu.
            Ada ke kata bodoh pada batu. Dia yang langgar, batu yang disumpahnya sedangkan batu tu tak buat apa-apapun. Hanya duduk di satu tempat dan tak ganggu sapa-sapa.
            Jadi berkali-kali dia kata perkataan tu dan berkali-kali juga dia sendiri dengar perkataan tu.
            Tahukah kamu bahawa otak kita akan bertindak mengikut apa-apa yang kita fikirkan. Bertindak di luar sedar.
            Cuba fikir, kamu lihat atau dengar aje pun, buah asam, air liur keluar secara luar sedar. Kamu dengar saya sebut makanan kegemaran kamu seperti nasi lauk ayam, kek, daging bakar atau burger. Perut kamu pasti rasa lapar.
            Bagaimana jika hari-hari dengar perkataan negatif. Maka macam doa la, kita yang dijadikan bijak ni akan jadi kurang bijak.
            Di tulis dalam buku penulisan barat, seseorang ni bercerita dia dapat tahu ada orang kata jika kamu yakin kamu dapat parking, maka kamu akan dapat. Maka diapun cuba. Setiap kali nak pergi membeli belah dia hadirkan sifat yakin sepenuhnya, maka dia beritahu benar. Dia dapat parking.
            Ada seorang penulis barat lain kata beliau yakin jika beliau memberi, maka beliau akan dapat semula dari Tuhan apa yang beliau beri. Beliau dapat maklumat ini dari pengalaman orang lain. Maka orang ini mengeluarkan sejumlah wangnya lalu diberikan kepada orang yang memerlukan. Tidak beberapa lama, beliau mendapat panggilan telefon dari pihak bank mengatakan beliau mendapat pengurangan bayaran perumahan yang beliau beli. Jumlah yang jauh melebihi wang yang beliau berikan kepada orang yang memerlukan sebelum ini.”
           

            KeLIMA, sentiasa berbuat baik tidak kira di mana, dengan siapa, bagaimana dan minta pembalasan dari Tuhan yang Maha Agung, yang Maha Memberi yang khazanahnya tidak berkurang sedikitpun jika kita diberikan dunia dan seisinya.
            Jika kamu yakin makhluk lain boleh memberi kepada kamu, membalas segala kebaikan kamu, maka kamu silap. Manusia tidak dapat berbuat apa-apa melainkan dengan izin Tuhan.
            Jika kamu tolong kawan, dan berharap kawan yang kamu tolong akan tolong kamu. Makanya kamu akan kecewa kerana mungkin kawan kamu nak balas tapi disebabkan Tuhan tidak redha, tidak izin sebab kamu berharap pada makhluk, maka Tuhan tidak jayakan usaha rakan yang kamu tolong tadi.
            Jika kamu tolong kerana Tuhan semata-mata, maka pembalasan yang lebih baik yang akan kamu dapat, yang tidak terkira oleh logik akal.
            Seorang anak menolong ibunya menguruskan perniagaan keluarga maka Allah menolongnya dengan memberi peluang perniagaan tatkala orang lain tidak yakin akan kejayaan perniagaan tersebut. Azim Prenji, anak ini membantu ibunya sendiri. Maka perniagaan IT Allah hadirkan tanpa persaingan. Malah tidak ada pesaing langsung. Diserahkan kepadanya seorang walaupun Azim Prenji sendiri tidak tahu apa-apa dalam bidang IT. Perniagaan bapanya adalah perniagaan membuat minyak masak dari kacang tanah.
            Dan Allah hadirkan perniagaan IT tatkala perniagaan minyak masak keluarganya sudah stabil. Amat sempurna pengurusan Tuhan yang Maha Bijaksana terhadap kehidupan hambanya yang ikhlas membantu orang lain, iaitu ibunya sendiri.
            Bagaimana pula dengan Al Bukhari yang ikhlas membantu ibunya membina rumah yang selesa dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Maka banyak perniagaannya diserahkan kepadanya tatkala tiada pesaing yang sanggup melakukan perniagaan yang di serahkan kepadanya.
            Percayalah bahawa keikhlasan kita yang dikira, bukan banyak mana pertolongan yang kita berikan kepada orang lain. Ikhlas kerana Tuhan. Balasan dunia dan balasan akhirat yang kita akan dapat.
            Membuang sampah ke dalam tong kerana Allah. Membuang halangan di jalanan kerana Allah. Membantu ibu bapa kerana Tuhan. Membantu rakan-rakan kerana Tuhan dan segala-galanya kerana Tuhan.
            Ingatlah dosa kita dengan manusia tidak akan dapat Tuhan ampunkan dan di akhirat nanti, Tuhan boleh ampunkan semua dosa-dosa kita melainkan dosa-dosa kita dengan manusia lain. Tersangkutnya kita dengan dosa hutang harta benda dan dosa umpatan, fitnah, pukulan, perkataan yang menyakitkan hati dan apa-apa yang melibatkan manusia lain.”
            Akhir sekali saya ulangi semua maklumat secara ringkas lalu saya kata
            “Kamu dilahirkan untuk berjaya. Tuhan tidak zalim kepada hambanya. Tuhan Maha Mengetahui maka kamu mesti lakukan semua perkara mengikut kata hati kamu, memohon doa, beramal dengan amalan soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
            Sebelum saya dapat bercakap dengan mereka, saya terpaksa kumpulkan mereka, menunggu kehadiran mereka ke kelas kerana mereka keluar kelas tanpa keizinan guru, pergi ke mana sahaja mereka suka. Ada dua tiga pelajar yang saya terpaksa pujuk untuk duduk di kelas. “Saya nak cakap sikit hal penting kepada kamu. Berilah peluang pada saya untuk bercakap sebentar dan selepas itu jika kamu ada apa-apa soalan, atau apa-apa yang kamu tak suka, kamu boleh katakan”, saya merayu pada mereka.
            Sebagai pembuka kata, semasa semua pelajar bersedia mendengar apa yang saya ingin katakan, saya ‘aktifkan’ otak mereka dengan berkata, “Kamu tahu tak ada dua guru yang sakit kerana kamu? Mereka masuk hospital kerana kelakuan dan tindakan kamu? Kerana risaukan masa hadapan kamu?”
            Mereka semua duduk tegak untuk membela tetapi saya cakap,
            “Biar saya habiskan semua apa yang saya nak cakap kepada kamu dahulu. Kemudian kamu boleh bagi pendapat atau komen.”
BINA KEYAKINAN PELAJAR.
Di hari lain, di kantin seorang pelajar menegur saya.
            Beliau memberitahu bahawa guru-guru merekalah yang membuatkan mereka tidak yakin dengan diri mereka apabila saya jumpa beliau dan saya kata,
            “Yang penting selepas kamu dah berusaha dan peperiksaan dah dekat, kamu mesti yakin kamu boleh. Anak ketujuh saya gagal di dalam Add Mathnya, 18% dalam peperiksaan pertengahan tahun. Gagal pertama kali bukan bermakna kamu gagal selamanya. Saya suruh dia kaji dan  lihat soalan yang dia tak boleh jawab sebab soalan yang ditanya di dalam SPM nanti akan lebih kurang sama. Mungkin pada bulan 6, soalan yang diberi tu kamu baru belajar dan masih belum faham. Jadi fahamkan mana-mana soalan yang salah tu. Pasti kamu berjaya.”
            “Ya cikgu. Tapi ada cikgu yang marah-marah pada kami sebab tak dapat jawab soalan. Mereka kata macam-macam pada kami, tuduh macam macam yang tak baik.” Katanya.
            “Tak apa. Mungkin sebab mereka terlalu risau pada kamu. Mungkin ada pelajar yang main-main masa dia ajar. Dia bukannya kata pada kamu. Nanti saya akan beritahu semua guru-guru tentang hal ni.”
            Pelajar tersebut terus menerus menyarankan saya memberitahu secepat mungkin yang membuatkan saya berani menonjolkan diri bercakap dalam mesyuarat guru.
            Mungkin ada yang benar-benar faham, dan mungkin ada yang semakin keliru. Namun di dalam penulisan ini saya benar-benar berharap agar apa yang ingin saya sampaikan menepati tujuan saya yang sebenarnya.
            Semoga Allah memberikan kemudahan untuk kita sama-sama memahami kejadian Tuhan yang Maha Bijaksana.

            Apa-apa yang saya tulis yang tidak baik datangnya dari saya dan semua yang baik adalah dari Allah SWT semata-mata.

No comments:

Post a Comment