Saturday, 2 January 2016

JOM BERPOLITIK

JOM BERPOLITIK
            Politik atau pengurusan pentadbiran atau secara logik akal cara untuk mentadbir sesebuah negara. Orang politik bertugas dalam mentadbir sesebuah negara.
            Setiap rakyat perlu tahu untuk berpolitik atau mengambil tahu hal politik.
         
       Pentadbiran negara ada dua iaitu cara kuku besi atau pilihan rakyat.

KUKU BESI

            Kuku besi: mentadbir sesebuah negara dengan cara tegas contoh pemerintah komunis, memerintah(memaksa) rakyat berbuat sesuatu atau menerima sesuatu idea atau undang-undang pemimpin atau dibunuh. Habis cerita. Tiada kompromi. Apa yang berlaku pada rakyat Kelantan suatu masa dahulu berbaur kuku besi. Dalam penulisan Abdullah Munshi, Raja Kelantan menetapkan semua harta rakyat Kelantan lelaki menjadi milik raja dan sesiapa membantah akan dibunuh. Makanya rakyat lelaki Kelantan ‘terbiasa’ atau ‘terdidik’ dengan cara zalim untuk terus menerus memilih untuk bersenang lenang dengan bermain wau, bertanding cengkerik, ayam laga, burung atau bermain gasing. Kaum lelaki ter’budaya’ untuk tidak mencari harta memandangkan harta mereka akan dirampas sewenang-wenangnya oleh raja Kelantan suatu masa dahulu. Rakyat Kelantan lelaki suatu masa dahulu dibunuh jika mereka ditangkap cuba untuk keluar dari negeri Kelantan.
            Sebaliknya, harta kaum wanita dibiarkan tidak diusik.
            Kepimpinan kuku besi menghasilkan sebuah negara yang membentuk rakyatnya.

SUARA RAKYAT.

            Kepimpinan ‘suara rakyat’ pula membentuk kerajaan. Maka terhasillah sebuah negara Malaysia yang mempunyai rakyat yang amalan-amalan mereka \membentuk sebuah kerajaan yang ada kini.
            Sebagai rakyat Malaysia yang mahu aktif dalam berPolitik, kita perlulah memastikan semua rakyat Malaysia bijak, jujur, amanah, berketrampilan, berwibawa, berinovatif dan cekap.

EKONOMI

            Pertama sekali saya ingin menyentuh tentang ekonomi yang semakin parah sekarang ini. Hutang dan perbelanjaan negara yang tinggi. Dimanakah perginya wang negara? Ramai yang bertanyakan hal ini di dewan rakyat mahupun di kedai-kedai kopi. Orang bijak pandai ataupun yang kurang bijaknya. Golongan elit atau bawahan. Semuanya seolah-olah tertanya-tanya soalan ini.

KEMANAKAH PERGINYA WANG NEGARA SEHINGGA MEMBUATKAN HUTANG NEGARA TIDAK PERNAH HABIS?

            Saya terasa terpanggil untuk membuka mata hati warga Malaysia untuk menilik kembali apa yang kita semua telah lakukan terhadap negara kita sendiri.

WANG PERBELANJAAN HOSPITAL.

            Sedarkah kita bahawa wang perbelanjaan hospital semakin meningkat? Tahukah kita semakin ramai rakyat Malaysia yang sakit dan kerajaan perlu membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk kesihatan rakyatnya?
            Pada satu masa dahulu, tidak ramai diantara kita yang menghidap penyakit diabetis. Kalau adapun hanyalah golongan tua yang berumur 30 tahun keaatas. Kini satu kaunter khas sudah ada di hospital untuk merawat diabetis. Kanak-kanak, malah bayi yang baru lahir juga ada yang terkena penyakit ini. Ini menunjukkan betapa ramainya rakyat Malaysia yang sakit kencing manis.
            Kerajaan membelanjakan sejumlah wang untuk memberi pesakit kencing manis insulin yang perlu diambil dalam bentuk pil atau suntikan.
            Kerajaan perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk penyakit buah pinggang. Mesin dialisis disediakan oleh kerajaan untuk kepentingan rakyatnya yang memerlukan mesin mencuci darah hampir setiap hari atau seminggu sekali. Ini tidak termasuk doktor dan nurse yang diupah kerajaan untuk memeriksa atau membantu mereka.

UBAT-UBATAN PERCUMA.

            Kerajaan menyediakan ubat darah tinggi, ubat kolesterol, ubat insulin untuk pesakit kencing manis secara percuma kepada rakyatnya untuk memungkinkan rakyatnya hidup lama dan mampu menikmati hidup seperti orang sihat lainnya.

RAWATAN KES KEMALANGAN JALAN RAYA

            Kerajaan juga menyediakan doktor yang ramai jumlahnya dan hospital yang besar untuk menampung kes kemalangan di jalan raya yang dikatakan meningkat terutama di musim perayaan.

KOS PAPAN IKLAN.

Rakyat kini terhasil sebagai rakyat yang rakus di jalan raya tanpa mementingkan keselamatan diri sendiri. Ini tidak termasuk lagi kos papan iklan yang dihadirkan hampir setiap tempat untuk mengingatkan pemandu untuk memandu dengan penuh berhemah.
BERHATI-HATI DI JALAN RAYA.
INGATLAH ORANG YANG TERSAYANG.
JANGAN BIARKAN KEPULANGAN ANDA DITANGISI.
Dan sebagainya. Namun rakyat masih bersikap tidak kisah dengan apa yang bakal berlaku pada diri mereka sendiri.

WANG PERBELANJAAN PERJALANAN

            Saya bawa pula anda semua ke sekolah  di Malaysia. Kerajaan memperuntukkan sejumlah wang untuk membolehkan pekerja kerajaan menuntut wang perbelanjaan perjalanan sekiranya anda pergi berkursus. Ramai pekerja yang tidak merasa bersalah sedikitpun untuk menipu di dalam jarak perjalanan yang mereka tuntut. Mungkin terlebih satu atau dua kilometer.
            Kemudian pada akhir tahun, rakyat Malaysia, iaitu pekerja bahagian kewangan tuntutan perjalanan tidak terasa terpanggil untuk memulangkan wang lebihan agihan tahunan ke dalam tabung negara untuk budget tahun berikutnya. Apa yang berlaku ialah segala jenis kursus yang tidak berapa penting diadakan hanya untuk menghabiskan wang kerajaan yang berbaki.

WANG PANITIA SEKOLAH.

            Ini tidak termasuk wang agihan tahunan panitia. Barang-barang yang tidak perlu dibeli dan disimpan ke dalam bilik stor, menunggu masa untuk dilupuskan lima hingga sepuluh tahun nanti. Wang agihan panitia yang tidak habis dihabiskan tanpa ada rasa tanggungjawab untuk dipulangkan kembali ke dalam tabung negara.
            Semua perkara ini berlaku dikalangan kita dan kita pula salahkan kerajaan dan menuduh kerajaan tidak pandai berbelanja? Alangkah peliknya!

RUMAH UNTUK MANGSA BANJIR.

            Rakyat Kelantan memerlukan rumah untuk mangsa banjir dan kerajaan mengeluarkan sejumlah wang bagi mereka. Wang yang digunakan ini hanyalah untuk rakyat. Bagaimana pula masih ada yang bertanyakan kerajaan mana perginya wang negara?

MEMBINA BANGUNAN DAN BAYARAN BIL.

            Bangunan sekolah dibina, dewan, bil elektrik sekolah, pejabat, dewan orang ramai, masjid dan tempat rehat awam atau R&R. Tandas awam, telefon awam, jalan raya,  balai polis, bomba dan penyelamat semuanya disediakan oleh kerajaan tanpa kita sedar. Makanya masihkah kita meminta dari kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan? Membantu gelandangan?
            Masih adakah antara kita yang bertanyakan ke mana perginya wang rakyat? Mengapa hutang negara Malaysia masih tidak berkurang?
            Kita sepatutnya berterima kasih keada negara Malaysia walau siapa pun pemimpin. Kita sepatutnya sedar apa yang telah kita lakukan demi negara kita yang tercinta ini. Perhati sekeliling kita dan kita akan ketahui hampir semua yang kita lihat adalah wang kerajaan, wang hasil titik peluh kita sebahagiannya.

UPAH MENCUCI DAN MEMBERSIHKAN SAMPAH.

            Kerajaan perlu mengupah pekerja untuk menyapu sampah di hampir semua tempat di Malaysia terutama di bandar-bandar tempat tumpuan pelancong luar negara yang datang ke Malaysia. Ramai rakyat Malaysia yang secara tidak sedar membuang sampah dari kenderaan atau semasa bersiar-siar, keluar membeli belah.
            Jika semua rakyat Malaysia peka, makanya wang negara tidak perlu dibelanjakan untuk pekerja pembersihan dan negara akan menjadi kaya dan mewah.

PAMPASAN TANAH

            Ramai rakyat yang secara suka-suka membina rumah kediaman atau kedai untuk berniaga di atas tanah milik kerajaan. Tanah milik kita semua. Makanya, sekiranya kerajaan ingin membina bangunan atau membuat sesuatu projek di atas tanah tersebut, makanya kerajaan perlu membayar sejumlah pampasan kepada individu tersebut. Tanah milik kerajaan perlu pula bayar pampasan, duit kerajaan. Alangkan peliknya. Kerajaan adalah kita, duit kita.
            Kesedaran rakyat keseluruhannya membuatkan wang milik kita bersama, wang kerajaan tidak susut di dalam tabung. Kita tidak perlu lagi berhutang.

SAMAN

            Kita ke hospital untuk mendapatkan rawatan, ramai teramat ramai bilangan pesakit. Kemudian dengan bilangan doktor yang tidak ramai, mereka membuat kesilapan kerana mereka terlalu letih, yang kita kata mereka cuai. Ramai doktor yang kerja lebih masa, iaitu on-call.
            Ramai yang menyaman kerajaan dan ada yang meningkat juta. Menang atau kalah itu lain cerita.
            Wang siapakah yang dibayar untuk satu-satu kes saman jika tidak duit kita semua? Duit kerajaan? Duit cukai kita?

ORANG YANG BAIK ANTARA KAMU IALAH ORANG YANG TAAT PADA KETUANYA.
         
            Sudah tiba masanya kita mensyukuri nikmat yang Tuhan berikan untuk kita iaitu nikmat mengamalkan agama Islam tanpa rasa takut dan terancam.
            Sudah tiba masanya kita menadah tangan memohon agar Tuhan menambah nikmat yang dilimpahkan kepada kita.
            Sudah tiba masanya kita sama-sama memastikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai rakyat yang bebas penyakit. Maka kita tidak perlu ramai doktor, tidak perlu bertengkar tentang harga ubat kencing manis yang meningkat, ubat darah tinggi, ubat kolesterol, ubat strok atau ubat-ubat yang dikaitkan dengan penyakit orang kaya.
            Kita juga pastikan tidak ada lagi pesakit akibat kemalangan yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi, tidak perlu lagi khidmat anggota ambulan, bomba dan polis. Hasilkan negara yang bebas kemalangan.
            Kita pastikan anak didik generasi baru bebas penagih dadah. Penagih dadah memerlukan kos yang tinggi untuk mengubat mereka di pusat serenti serta pekerja yang memerlukan kos yang tinggi untuk menjaga kebajikan mereka di sana. Makan minum, tempat tinggal dan ubatan sampingan.
            Kita juga sama-sama memastikan anak-anak di sekolah bebas vandalisma. Mereka menjaga kerusi meja, tandas sekolah, pintu kelas dan barang-barang komputer yang disumbangkan oleh kerajaan hasil titik peluh kita sebahagiannya.
           






APA KAITANNYA PAK MENTERI YANG DI ATAS DENGAN KITA?

            Setiap menteri ada orang-orang bawahan yang menerima arahan. Orang bawahan pula bukannya seorang malah ramai dan bertingkat-tingkat pula jawatan dari penolong pengarah, setiausaha, bendahari dan pekerja-pekerja di dalam sektor masing-masing. Tidak ada menteri atau pengarah yang bekerja sendirian dan menentukan sesuatu tindakan secara bersendirian.
            Orang bawahan diberikan akal dan ilmu, yang terdidik menjadi ilmuan dan ahli dalam bidang masing-masing. Mereka yang akan menasihati atau sama-sama membuat keputusan di dalam semua tindakan orang atasan. Mereka juga boleh bekerjasama menidakkan sesuatu keputusan yang dianggap tidak wajar. Makanya jika semua jentera bergerak bersama secara telus dan jujur, tidak akan ada penyelewengan yang di heboh-hebohkan oleh rakyat pada masa kini.
            Dimanakah salah kita?

Rakyat yang memilih kepimpinan setiap musim pilihan raya. Makanya rakyat yang baik yang diredhoi Allah akan dihadirkan pemimpin yang adil dan bijaksana.
Namun sekiranya rakyat berperangai sebaliknya, makanya pemimpin yang baik ini akan di gelapkan Tuhan dari membuat keputusan yang bijak. Andaikata kita semua baik, tidak dihadirkan Tuhan pemimpin yang zalim untuk kita.
FIKIR FIKIRKAN.
Kita perlu sedar keilafan dan kekurangan diantara kita bukan dari pihak atas sahaja. Perbaiki diri kita, amalan, tindakan dan corak pemikiran kita semua sebagai rakyat Malaysia yang bijak dan prihatin makanya Allah yang Maha Esa akan berikan pengakhiran yang baik untuk kita semua. Tuding satu jari ke hadapan maka tiga jari pula ke arah kita sendiri.
Sama sama kita menegur secara berhemah. Tegur menegur ke arah kebaikan dan bersabar serta berdoa untuk kesejahteraan semua.
Saya memohon pendapat pembaca dan menegur jika apa yang saya tulis ini salah. Penulisan ini hanyalah pendapat saya sahaja. Apa yang baik dari Tuhan yang Maha Mengetahui dan yang tidak baik dari kekurangan saya.



No comments:

Post a Comment